Sebanyak 67,735 kes jenayah siber dilaporkan melibatkan kerugian lebih RM2.7 bilion dari Januari hingga Nov 2025 - PDRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sebanyak 67,735 kes jenayah siber dilaporkan melibatkan kerugian lebih RM2.7 bilion dari Januari hingga Nov 2025 - PDRM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis – Sebanyak 67,735 kes jenayah dalam talian dilaporkan berlaku di seluruh negara dari Januari hingga November tahun ini, melibatkan kerugian melebihi RM2.7 bilion.

 

Data tersebut didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyifatkan kadar jenayah siber sangat membimbangkan.

 

Dalam satu kenyataan, JSJK PDRM berkata, jenayah telekomunikasi mencatat jumlah tertinggi dengan 28,698 kes diikuti jenayah e-dagang sebanyak 14,881 kes manakala penipuan skim pelaburan tidak wujud pula merekodkan sebanyak 9,296 kes.

 

Ini diikuti oleh penipuan pinjaman tidak wujud (8,029 kes), penipuan e-kewangan (5,853 kes) dan penipuan cinta (978 kes).

 

“Jumlah keseluruhan kerugian daripada skim pelaburan tidak wujud melebihi RM1.37 bilion, yang tertinggi dalam semua kategori. 

 

“Selain itu, jenayah telekomunikasi (RM715.7 juta), jenayah e-kewangan (RM458.1 juta), penipuan e-dagang (RM123.7 juta), pinjaman tidak wujud (RM59.1 juta) dan penipuan cinta (RM43.7 juta),” menurut kenyataan itu.

 

Statistik ini menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam kes jenayah siber, dan orang ramai disarankan bertindak segera sekiranya menjadi mangsa dengan menghubungi bank untuk menyekat sebarang transaksi mencurigakan.

 

Mangsa juga digalakkan membuat laporan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997, selain membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. - DagangNews.com