KUALA LUMPUR 18 Ogos - SDS Group Berhad diramal memperluaskan penawaran produk dan mengukuhkan keupayaan operasi menerusi pengambilalihan kilang pengeluaran Mamee Bakery Sdn Bhd di Johor Bahru, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, pengambilalihan itu akan melengkapi operasi pembuatan dan pengedaran sedia ada SDS secara strategik, dengan memperluaskan rangkaian produknya di bawah sistem pengedaran yang sama.
Firma penyelidikan itu berkata, SDS kini mengendalikan dua kilang pembuatan di Kempas dan Seremban dengan pengedaran produk ke seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura melalui rangkaian logistik dalaman.
"Aset yang diperoleh merangkumi kilang Mamee Bakery di Plentong, serta peralatan pengeluaran, mesin, cap dagangan berdaftar dan pengetahuan pengeluaran bernilai RM28 juta.
"Perjanjian ini turut melibatkan hak dan kemudahan untuk pengeluaran serta pembungkusan produk makanan ringan," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: SDS ambil alih kilang dan aset Mamee Bakery bernilai RM28 Juta
PublicInvest positif erhadap usaha itu dan melihat potensi sinergi dalam aspek logistik serta pembuatan. Jarak yang dekat antara kemudahan baharu di Plentong dan kilang sedia ada di Kempas dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan pengoptimuman kos melalui perkongsian sumber dan pengurusan rantaian bekalan yang disepadukan.
“Pengambilalihan ini bukan sahaja mengukuhkan keupayaan pembuatan, malah membolehkan kumpulan mempelbagaikan penawaran produk dengan jenama yang sudah dikenali dan digemari oleh pengguna tempatan.
“Ia selari dengan strategi jangka panjang untuk meningkatkan skala operasi dan memperluaskan potensi eksport melalui produk yang mempunyai jangka hayat lebih panjang," katanya.
PublicInvest berkata, langkah itu hadir ketika pasaran roti dan produk bakeri di Malaysia dijangka mencapai AS$8.2 bilion pada tahun 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 5.6% sehingga tahun 2030, didorong perubahan tabiat pemakanan pengguna dan permintaan terhadap makanan yang mudah serta lebih sihat.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "outperform" dengan harga sasaran (TP) 88 sen sesaham.- DagangNews.com








