SD Guthrie lantik Mohd Haris Mohd Arshad sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SD Guthrie lantik Mohd Haris Mohd Arshad sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan

Mohd Haris Mohd Arshad
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos SD Guthrie Berhad telah melantik Mohd Haris Mohd Arshad sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 1 September 2025.

 

Sebelum ini, Mohd Haris, 53, merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Guthrie.

 

Beliau menyertai Kumpulan pada tahun 2014 sebagai Ketua Unit Pembuatan Hiliran sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Operasi, segmen Hiliran pada tahun 2017.

 

SD Guthrie berkata, selepas penggabungan perniagaan hiliran di bawah Sime Darby Oils pada tahun 2019, Mohd Haris telah dilantik sebagai Pengarah Urusan pertamanya.

 

“Beliau memainkan peranan penting dalam pertumbuhan segmen tersebut, memacu transformasi, meningkatkan keuntungan secara konsisten, serta mengetuai pelbagai inisiatif kecemerlangan operasi, kelestarian, tadbir urus, pendigitalan, kesihatan & keselamatan dan pembangunan bakat.

 

“Sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan ketika itu, Mohd Haris telah meletakkan asas bagi model perniagaan ‘OneStream’.

 

“Beliau merupakan penyokong kuat usaha mekanisasi, automasi, dan pendigitalan dalam industri. Beliau kini merupakan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan juga Ahli Lembaga Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM),” kata SD Guthrie dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Haris juga adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

 

Sebelum menyertai Guthrie, Mohd Haris memegang jawatan kepimpinan dalam bidang dagangan & pemasaran global, perolehan komoditi dan pengurusan risiko komoditi di Cargill, Nestle dan Unilever.

 

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan dari University of Arizona, Amerika Syarikat dan alumni Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.- DagangNews.com