KUALA LUMPUR 18 Julai – SD Guthrie Bhd, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, melancarkan projek perintis biodiesel B30 di Pulau Carey, Selangor sebagai langkah mempercepatkan pengurangan pelepasan karbon dalam operasi perladangan.
Di bawah inisiatif ini, semua jentera dan kenderaan diesel di ladang Pulau Carey akan beralih sepenuhnya kepada penggunaan bahan api B30 iaitu campuran 30 peratus biodiesel berasaskan sawit dan 70 peratus diesel petroleum.
Bahan api ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 23 peratus bagi setiap liter berbanding diesel biasa.
Bekalan B30 bagi projek ini disediakan oleh Petronas Dagangan Bhd dari terminalnya di Melaka.
Berdasarkan penggunaan tahunan, pelaksanaan penuh bahan api B30 di seluruh operasi SD Guthrie di Malaysia dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 9,000 tan metrik setahun, bersamaan dengan mengeluarkan lebih 1,950 kereta dari jalan raya setiap tahun.

Pengarah Urusan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, pelaksanaan projek ini seiring dengan hasrat Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan menggalakkan penggunaan biodiesel sawit sebagai alternatif lebih bersih.
“Pelancaran kempen B30 ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami mencapai pelepasan sifar bersih. Peralihan kepada B30 bukan sahaja mengurangkan jejak karbon, malah menunjukkan contoh terbaik amalan lestari dalam industri perladangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek rintis penggunaan biodiesel B30 oleh SD Guthrie Berhad yang disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Pulau Carey, Selangor hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui kos B30 adalah lebih tinggi berbanding B20 yang digunakan ketika ini, namun optimis projek perintis ini akan membuka jalan ke arah pelaksanaan mandat nasional B30.
Katanya, langkah ini juga dapat menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dan memberi ruang kepada pengeluar enjin mengkaji kesan jangka panjang biodiesel berkepekatan tinggi.
“Kami berbangga menjadi peneraju inisiatif ini. Pulau Carey hanyalah permulaan. Hasrat kami adalah untuk memperluaskan pelaksanaan ini ke seluruh operasi Guthrie agar lebih banyak pengurangan pelepasan dapat dicapai.
“Dengan sokongan Kementerian Perladangan dan Komoditi, Petronas serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kami yakin minyak sawit mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian perubahan iklim dan menyumbang kepada peralihan negara ke arah ekonomi hijau,” katanya.
Projek ini melanjutkan kesinambungan Program Biodiesel Kebangsaan yang dimulakan pada 2011 dengan B5, sebelum berkembang ke B7 (2014), B10 (2019) dan B20 (2020).
Ketika ini, pelaksanaan B20 sedang dilakukan secara berperingkat di seluruh negara. Sebelum ini, SD Guthrie sudah memulakan projek perintis B20 di ladang Seri Pulai, Johor pada Jun 2024. - DagangNews.com








