SD Guthrie dan Gamuda Energy jalin kerjasama bangunkan aset solar 1.2GW | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SD Guthrie dan Gamuda Energy jalin kerjasama bangunkan aset solar 1.2GW

Datuk Mohamad Helmy Othman Basha (dua dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Gamuda Berhad, Datuk Azmi Mat Nor (tiga dari kiri) memeterai perjanjian untuk membangunkan projek solar 1.2 GW
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos – SD Guthrie Bhd dan anak syarikat Gamuda Bhd, Gamuda Energy Sdn Bhd menandatangani perjanjian strategik bagi pembangunan aset tenaga solar berkapasiti sasaran 1.2 gigawatt (GW).

 

Kedua-dua syarikat itu juga menetapkan matlamat untuk memiliki dan mengendalikan aset berkenaan termasuk sistem penyimpanan tenaga.

 

Dalam fasa pertama, mereka akan mengenal pasti tanah tidak produktif atau kurang dimanfaatkan milik SD Guthrie di seluruh negara untuk menilai potensi pembangunan tenaga solar.

 

Kolaborasi ini memanfaatkan kepakaran Gamuda dalam membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) berskala besar, termasuk projek bersasar 3GW di Asia Pasifik manakala SD Guthrie menyediakan akses kepada bank tanah yang luas.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, tenaga boleh diperbaharui merupakan satu sektor baharu yang menjadi tonggak masa depan syarikat, selain berperanan sebagai sumber pendapatan lestari dan pemacu sasaran neutral karbon bersih.

 

“Bersama Gamuda, kami dapat mempercepat strategi pengembangan ke sektor baharu ini, sambil mengukuhkan nilai jangka panjang portfolio tanah syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Eksekutif Gamuda Engineering, Faris Mohd Yusof pula berkata, syarikat memberi fokus kepada pengembangan portfolio infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan Australia, termasuk solar, angin, hidro, sistem penyimpanan tenaga bateri serta projek transmisi.

 

“Dengan pengalaman Gamuda dalam projek ladang solar berskala besar dan akses SD Guthrie kepada bank tanah yang luas, usaha sama ini berada pada kedudukan baik untuk menyediakan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui berskala untuk rakan kongsi multinasional.

 

“Pelaksanaan secara menyeluruh akan disokong oleh kepentingan strategik kami dalam ERS Energy dengan rekod prestasi EPCC solar mereka yang kukuh di Filipina, Vietnam, Singapura, Australia dan sudah tentu di negara sendiri, Malaysia,” katanya.

 

Kolaborasi ini dijangka menawarkan bekalan tenaga boleh diperbaharui yang cepat dan berskala, selaras dengan objektif kelestarian pemain industri dan pusat data di Malaysia.

 

Ia juga disifatkan sebagai inisiatif penting untuk memperkukuh pengeluaran tenaga bersih, memacu pertumbuhan mampan, serta menyokong aspirasi negara mencapai sasaran neutral karbon. - DagangNews.com