KUALA LUMPUR 16 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan London Biscuits Bhd, Datuk Seri Liew Yew Chung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memberi penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia dan pemalsuan rekod sebuah syarikat.
Dia meminta dibicarakan bagi satu pertuduhan iaitu menyebabkan pemberian penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 30 Ogos 2019.
Ini merupakan kesalahan di bawah seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Mengikut pertuduhan, kenyataan palsu berkaitan hasil terkumpul London Biscuits berjumlah RM285,985,000, terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat pada suku ketiga tempoh kewangannya yang berakhir pada 30 Jun 2019.
Yew Chung dikatakan telah melakukan kesalahan itu di bawah seksyen 367(1) CMSA kerana kedudukannya sebagai pengarah dan ketua eksekutif London Biscuits Berhad pada masa itu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.
Selain itu, Yew Chung turut berhadapan 12 pertuduhan di bawah seksyen 368(1)(a) CMSA kerana mengarahkan penciptaan transaksi palsu berhubung penjualan syarikat dalam rekod perakaunan London Biscuits Berhad antara Oktober 2018 dan Mac 2019. Transaksi palsu bagi kesemua 12 pertuduhan itu berjumlah RM2,354,430.
Dia meminta dibicarakan untuk semua pertuduhan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan Yew Chung diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin tempatan bagi kesemua 13 pertuduhan.
Dia juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya ke mahkamah dan melaporkan kepada Pegawai Penyiasat SC setiap dua bulan sekali. - DagangNews.com








