KUALA LUMPUR 4 April - Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) menyasarkan pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak enam juta tan untuk tahun kewangan 2025 (FY25), namun sasaran itu kelihatan agak mencabar berdasarkan pertumbuhan pengeluaran negatif yang dicatatkan setakat ini.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, dalam lima bulan pertama tahun ini, pengeluaran BTS kumpulan perladangan tersebut menurun sedikit disebabkan hujan lebat yang melanda kebanyakan wilayah operasi mereka.
"Walaupun pihak pengurusan yakin pengeluaran akan pulih apabila cuaca kembali normal, mereka juga mengakui sasaran pengeluaran yang dinyatakan mungkin sukar dicapai," kata HLIB Research dalam laporannya selepas pertemuan maya dengan pihak pengurusan KLK, baru-baru ini.
Antara yang ditekankan dalam pertemuan tersebut adalah pihak pengurusan menjangkakan kos pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) kurang daripada RM2,000 setiap tan untuk FY25 (berbanding RM2,039 setiap tan dalam FY24), dengan kesan yang minimum dari kenaikan gaji minimum dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing.
KLK juga menjangkakan pemulihan permintaan dan margin produk oleokimia di pasaran Kesatuan Eropah dan China dapat menampung prestasi lemah di sub-segmen penapisan akibat kapasiti berlebihan dan ketidakpastian yang timbul daripada dasar biodiesel di Indonesia.
Dalam jangka sederhana, KLK menjangka menerima sumbangan pendapatan yang lebih besar dari sektor hartanah.
Selain daripada pembangunan bersama taman perindustrian di Ijok dengan AME Elite Consortium, KLK juga telah mengenal pasti 1011.72 hektar tanah ladang di Kulai, Johor, untuk pembangunan taman perindustrian, yang membolehkan KLK memperoleh pendapatan dari dua sumber iaitu penjualan tanah dan pembangunan hartanah.
"Selain menceburi sektor taman perindustrian, kami difahamkan pembinaan pusat membeli-belah di Bandar Seri Coalfields dijadualkan siap pada awal 2026.
"Ia akan yang menjadi bandar pertama KLK di Bandar Seri Coalfields," kata firma penyelidikan tersebut.
HLIB Research mengekalkan penarafan 'beli' terhadap KLK dengan harga sasaran RM22.20. - DagangNews.com








