KUALA LUMPUR 2 Sept – Prospek RGB International Bhd bagi separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26) dijangka lebih kukuh berikutan peningkatan penghantaran mesin permainan elektronik (EGM) yang akan meletakkan kumpulan itu di landasan untuk mencapai sasaran penghantaran 3,000 unit bagi tahun ini.
Phillip Capital berkata, pengurusan RGB menjangkakan penghantaran EGM meningkat kepada antara 1,700 dan 2,000 unit pada 2H26, berbanding 1,300 unit yang dihantar pada separuh pertama 2026 (1H26).
“Jumlah tersebut akan membantu syarikat mencapai sasaran penghantaran 3,000 unit EGM bagi keseluruhan 2026, meningkat daripada 2,300 unit yang direkodkan pada 2025.
“Momentum penghantaran yang lebih kukuh disokong oleh tempahan sekitar 2,000 unit setakat Jun 2026.
“Tempahan tersebut dibahagikan secara seimbang antara projek resort bersepadu (IR) baharu dan projek pengembangan di Filipina, selain permintaan bagi penggantian mesin di seluruh Asia, dengan sebahagian besar penghantaran dijadualkan pada suku ketiga dan keempat tahun ini,” kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.
Penghantaran EGM Jadi Pemacu Utama
Phillip Capital berkata, RGB turut menyertai proses tender bagi program menaik taraf EGM di Macau bagi merebut peluang daripada permintaan penggantian mesin susulan pematuhan terhadap piawaian teknikal yang ditetapkan oleh Biro Pemeriksaan dan Penyelarasan Permainan (DICJ).
“Sebarang kejayaan memperoleh projek baharu berpotensi memberikan peningkatan kepada unjuran pendapatan RGB bagi 2026 dan 2027.
“Selain perniagaan perkakasan, RGB turut membuka ruang pertumbuhan baharu selepas memperoleh akreditasi perniagaan kepada perniagaan (B2B) daripada Philippine Amusement and Gaming Corporation (PAGCOR).
“Akreditasi itu menunjukkan kemasukan RGB ke dalam segmen permainan dalam talian di Filipina sebagai penyedia kandungan permainan dan pengagregat bersama rakan kongsi pengeluar peralatan asalnya (OEM),” katanya.
Langkah tersebut dilihat penting kerana ia membolehkan RGB mengembangkan perniagaannya daripada hanya bergantung kepada penyediaan perkakasan permainan kepada perkhidmatan penyelesaian digital yang berpotensi menjana sumber pendapatan berulang.
Perniagaan Digital Buka Sumber Pendapatan Baharu
Menurut Phillip Capital, perniagaan digital itu berpotensi menjana pendapatan menerusi yuran pelesenan dan yuran platform, selain model perkongsian keuntungan berdasarkan transaksi.
RGB menyasarkan kira-kira 60 pentadbir sistem permainan di Filipina, yang dijangka menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan dalam tempoh jangka panjang.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, usaha tersebut masih berada pada peringkat awal dan pihaknya menunggu gambaran yang lebih jelas mengenai struktur komersial, proses mendapatkan pelanggan serta sumbangan kepada keuntungan sebelum mengambil kira sebarang peningkatan pendapatan yang besar dalam unjurannya.
Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan saranan Beli terhadap RGB dengan harga sasaran 12 bulan sebanyak RM0.40 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sembilan kali bagi unjuran pendapatan sesaham 2027.
Firma itu turut melihat penilaian semasa RGB sebagai menarik, selain kedudukan tunai bersih sebanyak RM141 juta setakat suku kedua 2026 yang mewakili kira-kira 45% daripada permodalan pasarannya dan memberikan fleksibiliti kewangan kepada kumpulan. - DagangNews.com








