KUALA LUMPUR 25 April - Sabah perlu melangkah ke arah rumusan tenaga yang lebih bersih dan mampan bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin dan mesra alam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), Arshad Mohamed Ismail berkata, negeri itu bagaimanapun sudah memulakan tindakan bagi mencapai matlamat berkenaan susulan pelancaran Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
"Sabah sememangnya kaya dengan sumber semula jadi dan sudah lama menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.
"Namun, sektor tenaga di negeri itu berdepan cabaran besar, terutama dalam memastikan kelestarian jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan selepas Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SAREC 2025) yang berlangsung di Shangri-La Tanjung Aru, semalam.
Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Ia dilaksanakan dengan kerjasama cabang pelaburan milik penuh kerajaan Negeri Sabah, Qhazanah Sabah Berhad (QSB).
Persidangan sehari itu menghimpunkan lebih 250 pemain industri, institusi kewangan dan pihak berkuasa kawal selia, yang berkongsi pandangan serta hala tuju baharu dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Sabah.
SAREC 2025 menjadi platform penting bagi mengetengahkan idea dan strategi inovatif dalam usaha Sabah menuju masa depan tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Arshad dalam pada itu berkata, bekalan elektrik di Sabah masih terhad, lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia sekali gus memperlihatkan isyarat jelas kapasiti penjanaan tenaga perlu ditambah segera.
"Kebergantungan tinggi Sabah terhadap bahan api fosil, terutama gas asli yang menyumbang 86 peratus kepada penjanaan tenaga negeri, adalah satu cabaran besar. Gas asli bukan sumber yang kekal selamanya.
"Walaupun Sabah memiliki potensi tenaga boleh diperbaharui sebanyak 101GW terutama dari hidro, solar dan biojisim, hanya 7.3 peratus tenaga sekarang datang dari sumber ini," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB, Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata, SAREC 2025 mencerminkan komitmen pihaknya bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memudahkan perkongsian ilmu dan perbincangan dalam pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui di Sabah.
"Bagi kami, SAREC 2025 lebih daripada sekadar pencapaian syarikat. Ia adalah usaha bersama semua pihak dalam merealisasikan hasrat negeri Sabah untuk menyediakan tenaga yang lebih hijau dan mampu milik.
"Pembiayaan hijau, model pelaburan lestari dan aliran modal yang sejajar dengan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) bukan lagi pilihan, tetapi harus dilaksanakan untuk pertumbuhan masa depan," katanya. - DagangNews.com








