KUALA LUMPUR 9 Sept – Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau dengan meneroka potensi kerjasama strategik bersama gergasi tenaga global berpengkalan di Berlin, Siemens Energy.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, lawatan kerja ke ibu pejabat Siemens Energy telah membuka peluang baharu untuk Sarawak memperoleh kepakaran serta mengaplikasikan teknologi canggih, khususnya dalam pengeluaran hidrogen.
Menurut beliau, teknologi elektroliser yang dibangunkan Siemens berupaya menghasilkan 350 kilogram hidrogen sejam, jauh lebih tinggi berbanding kapasiti semasa Sarawak iaitu sekitar 130 kilogram sehari.
“Keupayaan ini memberikan peluang besar untuk Sarawak meningkatkan kecekapan sekali gus memperluas kapasiti pengeluaran hidrogen pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak, semalam.
Kunjungan tersebut turut disertai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Sharbini Suhaili.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, perbincangan awal telah diadakan bersama pihak syarikat, SEB dengan kerjasama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi untuk meneliti bentuk kerjasama yang sesuai dalam proses tersebut.
“Ini bermakna kita akan belajar daripada mereka dan pada masa hadapan kita akan lihat bagaimana kerjasama ini boleh dimuktamadkan,” jelasnya.
Selain teknologi elektroliser, Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga berminat untuk meneroka kerjasama dalam penyelesaian turbin gas serta penggunaan fasiliti di Pusat Inovasi Siemens yang menawarkan kemudahan simulasi canggih untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Teknologi turbin gas Siemens berpotensi digunakan di Samalaju, dengan pilihan untuk dinaik taraf secara berkala.
“Sementara itu, kemudahan simulasi di Pusat Inovasi pula mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan oleh pengguna di Sarawak.
“Lawatan rasmi ini amat bermakna kerana ia membuka pintu kerjasama baharu dalam bidang tenaga hijau, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam industri hidrogen,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari dan delegasi beliau turut mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Kanan merangkap Pengarah Urusan Siemens Energy bagi Asia Pasifik, Thorbjörn Fors, serta Naib Presiden Eksekutif Global Functions, Juha Pankakoski.
Kerajaan Sarawak sebelum ini giat melaksanakan agenda tenaga boleh diperbaharui termasuk projek hidrogen bagi kegunaan domestik serta eksport, selaras dengan hasrat menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga hijau rantau ini. - DagangNews.com








