Sarawak Plantation labur RM54 juta penanaman semula sawit 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Plantation labur RM54 juta penanaman semula sawit 2024

Gambar/Sarawak Plantation Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 April - Sarawak Plantation Bhd membelanjakan sejumlah RM54 juta bagi penanaman semula pokok kelapa sawit melibatkan kawasan seluas 4,200 hektar tahun lalu, lebih dua kali ganda berbanding RM25.1 juta pada 2023.

 

Menurut Pengarah Eksekutif, Datuk Wong Kuo Hea, langkah itu penting bagi meningkatkan hasil pada masa depan dan untuk perkembangan jangka panjang syarikat. 

 

Beliau berkata, kejayaan itu hasil perancangan teliti dan kerja yang cekap, malah melebihi sasaran syarikat sebanyak 5%.

 

"Kawasan lama yang kurang hasil dan dijangkiti kulat ganoderma diganti secara berperingkat dengan benih berkualiti tinggi yang dijangka mampu meningkatkan pengeluaran dalam beberapa tahun akan datang," katanya dalam laporan tahunan 2024.

 

Jelasnya, benih kelapa sawit yang digunakan disemai sendiri, yang turut mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 86% kepada 930,000 biji tahun lalu, berbanding 2023.

 

Sarawak Plantation, yang berpusat di Miri, merupakan antara pelopor industri sawit di Sarawak, memiliki tanah seluas 42,166 hektar, termasuk 412 hektar yang dibangunkan bersama agensi kerajaan negeri. 

 

Kumpulan kini menguruskan 13 ladang sawit dan dua kilang minyak sawit di utara dan tengah Sarawak.

 

Sarawak Plantation juga merupakan syarikat bersekutu kepada Ta Ann Holdings Bhd, yang memegang saham terbesar sebanyak 29.4%.

 

Kuo Hea, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ta Ann berkata, kumpulan tersebut berjaya memulihkan hampir keseluruhan 6,000 hektar ladang sawit yang dikenal pasti untuk penambahbaikan sejak 2018, termasuk 400 hektar yang dipulihkan tahun lalu.

 

Baki 20 hektar dijangka dipulihkan tahun ini.

 

Bagi kawasan ladang yang terjejas akibat penduduk setempat, Kuo Hea berkata, kumpulan berjaya mendapatkan semula 100 hektar tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan yang dipulihkan sejak 2018 kepada kira-kira 4,300 hektar. 

 

Namun, masih ada 2,100 hektar yang belum dapat dipulihkan sepenuhnya.

 

"Walaupun mencabar, kami komited untuk memulihkan semua kawasan ini atau sekurang-kurangnya sebahagiannya," ujarnya.

 

Pada 2024, sebanyak 1,500 hektar ladang sawit diisytihar matang, dengan 9% terdiri daripada pokok muda (empat hingga enam tahun), 59% pokok matang utama (tujuh hingga 20 tahun), 25% pokok belum matang dan 7% pokok tua (lebih 21 tahun).

 

Sarawak Plantation juga menghasilkan mesin menuai sawit rekaan sendiri yang dinamakan 'Lipan' bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

 

Mesin berkenaan dikawal secara tanpa wayar, memudahkan kerja-kerja menuai dengan lebih cekap dan sistematik.

 

Satu lagi inovasi yang sedang diuji adalah kenderaan enam tayar diubah suai dari industri pembalakan, untuk digunakan di kawasan berbukit bagi mengangkut buah tandan segar (BTS).

 

Setelah reka bentuk dimuktamadkan, mesin itu akan digunakan di ladang baharu yang direka khas untuk penggunaan mesin sepenuhnya.

 

"Kami sedang memperluas penggunaan mesin Lipan di kawasan sesuai dan akan terus memantau keupayaannya.

 

"Sehingga kini, sebanyak 10 mesin telah digunakan di ladang-ladang syarikat," katanya.

 

Bagi 2025, antara fokus utama syarikat adalah meneruskan strategi penanaman semula secara berkesan, menambah ruang untuk mesin serta memastikan kepadatan pokok yang optimum agar hasil dapat ditingkatkan.

 

Selain itu, Sarawak Plantation merancang memperluas kapasiti tiga nurseri kelapa sawitnya yang kini mampu mengeluarkan 1.2 juta anak pokok setahun.

 

Benih khas syarikat, Surea DxP, terbukti mampu menghasilkan tandan buah dan minyak sawit yang tinggi serta tumbuh dengan kadar ketinggian yang perlahan, faktor yang mengurangkan risiko penyakit dan mengekalkan hasil secara konsisten. - DagangNews.com