Sarawak pelawa NEC Corporation Jepun jalin kerjasama perkasa ekonomi digital dan tenaga hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak pelawa NEC Corporation Jepun jalin kerjasama perkasa ekonomi digital dan tenaga hijau

Delegasi sarawak bertemu NEC Corporation di Jepun / Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kerajaan Sarawak giat memperkasakan sektor digital dan ekonomi hijau melalui kerjasama dengan gergasi teknologi Jepun, NEC Corporation bagi mempercepatkan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030.

 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama itu meliputi bidang kerajaan digital, penerbangan serta keselamatan siber, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab digital berdaya saing di rantau ini.

 

“Sarawak komited membangunkan ekonomi berdaya tahan, inklusif dan berinovasi dengan teras sumber boleh diperbaharui, kelestarian alam sekitar dan teknologi.

 

“Fokus kami juga adalah untuk membangunkan ekonomi berasaskan tenaga bersih, infrastruktur digital canggih dan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan di NEC Super Tower, Tokyo di Jepun semalam.

 

Dalam rangka lawatan ke Jepun itu, delegasi Sarawak turut mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat digital untuk pelaburan berasaskan data yang kini dalam fasa kajian kebolehlaksanaan.

 

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, kerjasama awam dan swasta sangat penting dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, reka bentuk litar bersepadu dan perkhidmatan digital.

 

“Penglibatan syarikat teknologi global seperti NEC dijangka membawa limpahan ekonomi besar, termasuk peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan pembangunan industri sokongan tempatan.

 

“Sarawak menawarkan ekosistem pelaburan yang kompetitif, termasuk tarif elektrik dan air yang rendah, insentif cukai, tenaga kerja mahir serta persekitaran mesra pelabur,” katanya.

 

Delegasi itu turut bertemu dengan First Ammonia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang bekerjasama dengan peneraju teknologi Denmark, Topsoe, untuk membincangkan rancangan pembinaan kemudahan pengeluaran ammonia hijau generasi baharu di Sarawak.

 

Beliau berkata, siri pertemuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan negeri menarik pelaburan bernilai tinggi yang selaras dengan pelaksanaan Sarawak Hydrogen Economy Roadmap.

 

Tambahnya, kerjasama strategik ini dijangka menjadi pemangkin kepada agenda transformasi Sarawak, bukan sahaja sebagai peneraju ekonomi digital, malah sebagai pemain utama dalam industri tenaga hijau di Asia Tenggara. - DagangNews.com