KUALA LUMPUR 30 April - Kerajaan Sarawak mencatat kejayaan baharu dalam teknologi global dengan pelancaran KETEQ AI, iaitu peranti penukar kuasa berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama di dunia, hasil usaha dan kepakaran anak negeri itu sepenuhnya.
KETEQ AI direka dengan keupayaan untuk mengesan dan membetulkan gangguan sistem secara automatik dalam masa kurang 0.1 milisaat, sekali gus menjadikannya antara sistem paling responsif dalam bidang kawalan pintar dan elektronik kuasa.
Projek pembangunan teknologi berkenaan bermula pada 23 April 2024 selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat SMD Semiconductor dan CSA Catapult di Parlimen United Kingdom (UK).
KETEQ AI mempunyai potensi aplikasi yang luas termasuk dalam grid pintar, sistem kenderaan elektrik, teknologi autonomi, Internet Benda (IoT) industri, sistem ramalan penyelenggaraan serta mekanisme kawalan kritikal.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, kejayaan itu merupakan antara pencapaian utama di bawah inisiatif Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang bertujuan menjadikan Sarawak sebagai hab berteknologi tinggi di rantau Asia Tenggara.
"Pembangunan Penukar Kuasa AI Edge ini lebih daripada sekadar hasil dasar, ia satu pencetus perubahan besar bagi Sarawak.
"Inovasi ini membawa lonjakan perubahan dalam landskap teknologi kita," katanya ketika berucap sempena lawatan ke kemudahan CSA Catapult di Cardiff, Wales, semalam seperti laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Ketua Pegawai Eksekutif CSA Catapult, Raj Gawera; Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Mohd Shariman Jamil; dan pegawai-pegawai kanan negeri.
Abang Johari berkata, teknologi berkenaan menandakan satu lonjakan yang memperlihatkan kesungguhan Sarawak dalam membina keupayaan teknologi strategik sendiri.
"Kerjasama ini memberi ruang kepada Sarawak untuk membina ekosistem inovasi lebih mampan yang menyokong pertumbuhan sektor teknologi tempatan.
"Ia bukan sahaja menjanjikan kecekapan tenaga yang tinggi, malah direka agar dapat beroperasi secara berskala dengan keupayaan tindak balas masa nyata," katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Shariman turut melakukan demonstrasi langsung prototaip teknologi tersebut, memperlihatkan kemampuannya mengendalikan pelbagai senario operasi kompleks.
Dengan slogan Innovation in just a Snap, KETEQ AI menjadi bukti kemampuan anak Sarawak dalam mencipta teknologi bertaraf dunia, sekali gus mengangkat nama negeri itu ke persada global dalam bidang AI dan sistem tenaga pintar.
Abang Johari tiba di London semalam bagi mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan kerja lima hari ke UK sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama dalam pembangunan semikonduktor.
Program beliau termasuk pertemuan dengan Cambridge University Press and Assessment, London School of Economics and Political Science (LSE), serta menyaksikan pertukaran MoU antara LSE dan kerajaan Sarawak.
Beliau juga dijadual bertemu pegawai dari Persatuan Hidrokuasa Antarabangsa dan Perikatan Tenaga Boleh Diperbaharui Global, serta menyampaikan ucaptama pada pertemuan bersama pemain industri dan tokoh perniagaan terkemuka UK.
Beliau turut dijadual bertemu dengan pelajar Sarawak di UK pada 3 Mei 2025. - DagangNews.com








