Sarawak Metro serah kontrak RM58 juta kepada Linde EOX naik taraf loji hidrogen Sarawak Energy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Metro serah kontrak RM58 juta kepada Linde EOX naik taraf loji hidrogen Sarawak Energy

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Dis – Sarawak Metro Sdn Bhd menyerahkan kontrak bernilai RM58 juta kepada Linde EOX Sdn Bhd bagi kerja-kerja pemindahan dan naik taraf loji pengeluaran serta stesen pengisian hidrogen milik Sarawak Energy Bhd.

 

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menandakan satu lagi kemajuan penting bagi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) sebagai sebahagian Fasa 1 strategi pengeluaran hidrogen untuk projek berkenaan.

 

Dalam kenyataan hari ini, Sarawak Metro berkata, kontrak reka bentuk dan bina itu melibatkan pemindahan loji hidrogen daripada Bintawa ke Depoh Autonomous Rapid Transit (ART) di Rembus, Kota Samarahan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa berkata penganugerahan kontrak itu merupakan langkah penting dalam menyokong penggunaan tenaga bersih bagi sistem pengangkutan awam bandar Kuching.

 

“Kontrak bernilai RM58 juta ini membolehkan Sarawak Metro memastikan infrastruktur hidrogen yang diperlukan untuk operasi ART dibangunkan mengikut jadual serta memenuhi keperluan teknikal dan operasi projek KUTS,” katanya.

 

Beliau berkata, selepas dinaik taraf sepenuhnya, loji berkenaan dijangka mampu menghasilkan kira-kira satu tan hidrogen hijau, sekali gus menyokong sasaran penggunaan bahan api rendah karbon bagi sistem ART.

 

Majlis penyerahan LOA yang ditandatangani itu disempurnakan di pejabat korporat Sarawak Metro, dengan Mazli menerima dokumen berkenaan daripada Pengarah Urusan Linde EOX, Hoo Peih Yoke.

 

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datuk Wong Hee Sieng, serta wakil Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, Mohamad Kamil Asyraf Mohamad Samuri.

 

Sarawak Metro berkata pembangunan kemudahan hidrogen ini akan menjadi antara komponen penting dalam memastikan kesiapsiagaan operasi ART, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memacu mobiliti hijau dan rendah karbon di negeri itu. - DagangNews.com