KUALA LUMPUR 12 Dis – Sarawak Metro Sdn Bhd terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pembangunan mobiliti hijau negara apabila menerima delegasi daripada Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak (INTAP) di Kuching ART Assembly Facility (KAAF) baru-baru ini.
Lawatan itu bertujuan memberi pemahaman lebih mendalam mengenai sistem Autonomous Rapid Transit (ART) yang sedang dibangunkan di bawah projek Kuching Urban Transportation System (KUTS).
Delegasi seramai 39 anggota, diketuai Pengerusi INTAP, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa, yang turut memberikan taklimat mengenai perkembangan semasa projek tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, Mazli berkata inisiatif KUTS mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk membangunkan sistem pengangkutan awam moden, bersih dan selamat bagi memenuhi keperluan masa depan.
“Projek KUTS menggambarkan usaha berterusan Sarawak untuk membina sistem pengangkutan awam yang lebih moden, lebih hijau dan lebih efisien. Syarikat berbesar hati dapat berkongsi kemajuan dan pengalaman kami dengan organisasi seperti INTAP,” katanya.
Menurut beliau, Sarawak Metro juga terus komited untuk memulakan fasa pertama operasi ART menjelang akhir tahun depan, selaras dengan perancangan negeri untuk mempercepat pembangunan mobiliti rendah karbon.
Mazli berkata kerjasama antara negeri seperti ini adalah penting bagi mempertingkat pemahaman dan penerapan teknologi pengangkutan baharu di seluruh negara.
“Syarikat berharap lawatan sebegini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama yang menyokong pembangunan mobiliti lestari di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir semasa lawatan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datuk Wong Hee Sieng, wakil Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS), serta wakil kontraktor bagi pakej sistem 1 projek KUTS, iaitu usaha sama EPR (Kuching) Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd (EMG JV).
Selepas sesi taklimat dan perbincangan, delegasi INTAP turut dibawa menaiki prototaip ART di KAAF untuk merasai pengalaman operasi sistem masa depan itu. - DagangNews.com








