KUALA LUMPUR 22 Sept – Sarawak Energy akan memperkenalkan skim subsidi baharu sehingga RM12,000 kepada pelanggan domestik yang memasang sistem solar atas bumbung di bawah program Net Energy Metering (NEM) bermula tahun 2026.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kos permulaan pemasangan solar selain membolehkan pengguna menjual balik lebihan tenaga ke grid dan dikreditkan terus ke dalam bil bulanan.
Sarawak Energy berkata, inisiatif tersebut menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui Sarawak dengan menjadikan pemasangan solar lebih mudah diakses oleh pelanggan Tarif Domestik.
Menurut syarikat itu, skim berkenaan juga mampu memberi penjimatan tenaga jangka panjang dan menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai gaya hidup lestari.
“Melalui skim NEM, pelanggan domestik dengan sistem Solar Fotovoltaik (PV) boleh menjana elektrik sendiri dan mengeksport lebihan ke grid.
“Ia akan dikreditkan ke dalam bil, sekali gus mengurangkan kos bulanan pengguna,” jelas kenyataan itu.
Inisiatif tersebut selaras dengan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) yang menekankan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan nyahkarbon untuk pertumbuhan mampan.
Subsidi akan ditawarkan berdasarkan ‘first-come, first-served’ bergantung kepada kuota yang ditetapkan.
Sarawak Energy berkata, jumlah subsidi berbeza mengikut saiz pemasangan iaitu RM12,000 bagi sistem melebihi 6 hingga 50kWac, seterusnya RM10,000 untuk sistem melebihi 3.5 hingga 6kWac dan RM8,000 ditawarkan bagi sistem antara 2 hingga 3.5kWac.
“Bagi menjamin keselamatan dan kualiti, semua pemasangan NEM hanya boleh dilakukan oleh Pereka Solar PV bertauliah yang berdaftar dengan Unit Pemeriksa Elektrik (EIU) di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak.
“Permohonan skim ini pula perlu dikemukakan di kaunter khidmat pelanggan Sarawak Energy bagi pihak pelanggan.
“Subsidi hanya terpakai bagi pemasangan NEM bermula 2026 untuk kategori Tarif Domestik rumah kediaman bertanah,” katanya.
Setiap pemilik akaun layak untuk satu pemasangan sahaja dan tidak melibatkan rumah yang sudah memiliki sistem solar PV.
Bagaimanapun, pelanggan yang menandatangani kontrak NEM pada tahun 2025 masih boleh mengemukakan tuntutan untuk pertimbangan, dengan bayaran subsidi dibuat mulai Januari 2026.- DagangNews.com








