Sarawak catat lonjakan 82% kehadiran pelancong Asia Barat, jalin kerjasama strategik dengan Brunei bagi perluas capaian pasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak catat lonjakan 82% kehadiran pelancong Asia Barat, jalin kerjasama strategik dengan Brunei bagi perluas capaian pasaran

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 5 Mei - Sarawak menjalin kerjasama baharu dengan Brunei dan Royal Brunei Airlines bagi menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat dan India, susulan lonjakan 82% pelancong dari Asia Barat antara 2022 hingga 2024.

 

Kerjasama strategik yang diumumkan di Arabian Travel Market (ATM) 2025 di Dubai itu melibatkan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Pelancongan Brunei, dan Royal Brunei Airlines, dengan matlamat menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi serta merealisasikan sasaran lima juta pelancong ke Sarawak tahun ini.

 

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut menyediakan sambungan udara yang lebih lancar apabila Royal Brunei Airlines kini mengendalikan tiga penerbangan mingguan dari Dubai ke Brunei menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner serta empat penerbangan mingguan dari Brunei dan Kuching dengan pesawat Airbus A320 neo sekali gus memudahkan perjalanan dua destinasi antara Asia Barat dan Sarawak. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Haji Salleh Askor berkata, perkongsian itu akan membuka peluang kepada pelancong dari pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan India untuk menikmati pengalaman autentik yang kaya dengan alam semula jadi.

 

"Peningkatan keterlihatan Sarawak di peringkat antarabangsa adalah bukti komitmen kami terhadap pengalaman pelancongan yang mampan dan kaya dengan budaya," katanya dalam satu kenyataan.

 

BRUNEI

 

Semasa ATM 2025, STB mengadakan sesi 'Business-to-Business (B2B)' dan 'Product Update' dengan 50 ejen pelancongan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan wilayah GCC. 

 

Ejen yang hadir menerima cenderamata bertemakan Sarawak seperti kemeja-T dan topi sebagai sebahagian daripada usaha promosi.

 

Sesi tersebut juga memperkenalkan kempen 'Echoes of Borneo', satu promosi bersama dengan Pelancongan Brunei yang mempamerkan Muzium Budaya Borneo, dua Tapak Warisan Dunia UNESCO Gunung Mulu dan Taman Negara Niah, Festival Muzik Hutan Hujan Dunia, serta warisan diraja Brunei.

 

Untuk menarik lebih ramai pelancong, STB akan membawa wakil media dan rakan industri terpilih menyertai lawatan khas ke Sarawak bagi merasai sendiri keunikan budaya etnik, makanan halal, keindahan hutan hujan, serta penginapan mesra alam yang eksklusif.- DagangNews.com