Sarawak berpotensi sebagai hab perdagangan tenaga rentas sempadan – Pusat Tenaga ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak berpotensi sebagai hab perdagangan tenaga rentas sempadan – Pusat Tenaga ASEAN

Empangan Bakun

KUALA LUMPUR 8 Sept – Sarawak berada pada kedudukan strategik untuk memperluas perdagangan tenaga rentas sempadan susulan bekalan kuasa hidro yang stabil serta rizab gas asli yang masih belum diterokai sepenuhnya.

 

Penganalisis penyelidikan Pusat Tenaga ASEAN (ACE), Shania Esmeralda Manaloe berkata, kedua-dua sumber itu boleh digabungkan untuk menyediakan bekalan asas kukuh kepada grid kuasa ASEAN.

 

Katanya, langkah itu dapat mengukuhkan peranan Sarawak dalam membentuk masa depan tenaga rantau Asia Tenggara.

 

“Jawapan kepada kerjasama rentas sempadan lebih besar dalam ASEAN amat jelas. Jika mahu meningkatkan skala, kita perlu perluaskan sambungan ke kawasan jiran seperti Sabah, Brunei dan Filipina.

 

“Bagi Sarawak, perkara ini amat berdaya maju kerana bekalan sudah pun tersedia,” katanya ketika sesi panel bertajuk “The Role of Gas in ASEAN’s Energy Future” sempena Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 4.0) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, baru-baru ini.

 

Menurut Shania, eksport tenaga elektrik Sarawak ke Kalimantan sejak 2016 membuktikan kejayaan pelaksanaan projek grid kuasa ASEAN.

 

“Ia merupakan antara projek awal yang benar-benar menunjukkan keberkesanan grid kuasa ASEAN.

 

“Momentum pembangunan grid kuasa ASEAN kini semakin kukuh dengan kejayaan Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS),” katanya, lapor The Borneo Post.

 

t
Empangan Baleh

 

 

Projek itu membolehkan 100 megawatt tenaga hidro dari Laos diperdagangkan ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia dan kini sedang dirancang untuk digandakan kepada 200 megawatt dengan tambahan bekalan dari Malaysia.

 

Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan menyelia pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan untuk grid kuasa ASEAN, merangkumi pembangunan infrastruktur, pasaran serta pembahagian peranan yang lebih jelas.

 

Bagaimanapun, Shania mengakui masih terdapat cabaran melibatkan perbezaan peraturan rentas sempadan dan isu kestabilan grid.

 

“Itulah peranan Pusat Tenaga ASEAN (ACE) untuk kami membantu negara anggota menangani cabaran ini,” jelasnya dan memaklumkan ACE akan menjadi sekretariat baharu grid kuasa ASEAN dan sedang mengemas kini pelan induk penyambungan serantau bersama Bank Dunia melalui kajian kebolehlaksanaan terbaharu. - DagangNews.com