Sapura Energy raih kontrak RM40 juta kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan luar pesisir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sapura Energy raih kontrak RM40 juta kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan luar pesisir

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 April – Sapura Energy Bhd memperoleh kontrak bernilai RM40 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian kemudahan luar pesisir di Semenanjung Malaysia.

 

Menurut syarikat, kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat operasi dan penyelenggaraannya, Sapura Fabrication Sdn Bhd. 

 

Bagaimanapun, pihak pemberi kontrak tidak didedahkan.

 

"Kontrak ini telah bermula pada 19 Mac 2025 dan akan berlangsung selama enam bulan, dengan pilihan untuk dilanjutkan enam bulan lagi.

 

"Skop kerja merangkumi penyelenggaraan struktur atas, naik taraf kemudahan, kerja sambungan dan pentauliahan kemudahan lama dan baharu, penyelenggaraan paip naik, penyenggaraan sistem peluncur pigging, serta penjagaan kawasan tempat tinggal pekerja, " katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, Sapura Energy turut bertanggungjawab dalam pengurusan projek, kejuruteraan, serta pengurusan pembinaan bagi kerja-kerja darat dan laut, termasuk pembekalan peralatan dan perkhidmatan sokongan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi dan Penyelenggaraan Sapura Energy, Nasri Mehat berkata, pihaknya amat menghargai kepercayaan yang berterusan daripada pelanggan dan komited untuk memberikan perkhidmatan cemerlang dengan mematuhi standard keselamatan tertinggi.

 

Sapura Energy kini berada dalam status Nota Amalan 17 (PN17) sejak Mei 2022 dan sedang giat memuktamadkan pelan penstrukturan semula syarikat.

 

Sebahagian daripada pelan pemulihan tersebut termasuk inisiatif penstrukturan semula hutang yang telah mendapat kelulusan majoriti pihak pembiaya serta kelulusan pelan penyusunan semula daripada para pemiutang dan Mahkamah Tinggi pada Februari lalu.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Sapura Energy turut memperoleh perjanjian pembiayaan bersyarat daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan, berjumlah sehingga RM1.1 bilion dalam bentuk saham pinjaman boleh tebus, yang akan digunakan bagi melunaskan pembayaran kepada vendor minyak dan gas tempatan. - DagangNews.com