KUALA LUMPUR 28 Ogos – Samaiden Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Sdn Bhd (SSB), telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Unique HEB Energy Sdn Bhd (UHESB) bagi melaksanakan kontrak bernilai RM290 juta di Hilir Perak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Samaiden berkata, ia akan bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk pembangunan loji janakuasa solar fotovoltaik berskala besar (LSSPV) berkapasiti 95 megawatt arus ulang-alik (MWac).
“Kerja projek tersebut akan bermula selepas kedua-dua pihak menandatangani LOA disusuli memeterai kontrak EPCC dalam tempoh 60 hari daripada penerimaan LOA atau pada tarikh lain yang telah dipersetujui bersama.
“LOA tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemegang saham, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” kata Samaiden.
Projek tersebut adalah antara Program Large-Scale Solar 5 (LSS5) yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada April 2024 bagi menggalakkan pembangunan loji solar berskala besar (LSSPV) di seluruh negara.
Program itu membolehkan syarikat swasta memohon kontrak untuk membina, mengendalikan dan menyelenggara loji solar dengan kapasiti melebihi 10 MW, sejajar dengan usaha Malaysia meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
LSS5 adalah pusingan kelima projek solar berskala besar selepas LSS1 hingga LSS4, dan dijangka menyumbang kepada pertumbuhan sektor tenaga bersih negara serta memberi peluang perniagaan kepada syarikat seperti Samaiden Group Bhd yang terlibat dalam projek tenaga solar komersial.
Projek di bawah LSS5 diluluskan dan dipantau oleh Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan pematuhan standard teknikal dan keselamatan grid.
Sebelum ini, Samaiden meraih kontrak bagi membangunkan tiga loji penjanaan tenaga bio baharu dengan jumlah kapasiti kasar sebanyak 18 MW.
Tiga kontrak yang dimenangi secara berasingan itu merangkumi pembinaan loji biogas 1.5 megawatt (MW) di Bachok, Kelantan, loji biomas 5.5MW di Tangkak, Johor dan loji biomas 11MW di Kemaman, Terengganu. - DagangNews.com








