KUALA LUMPUR 26 Ogos - Saliran Group Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM116.3 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) serta untung bersih sebanyak RM1.4 juta didorong peningkatan jualan pasaran domestik, khususnya dalam projek berkaitan infrastruktur.
Kumpulan itu berkata, segmen pembekalan dan pengedaran kekal sebagai teras perniagaan kumpulan, menyumbang sebanyak RM115.7 juta atau 99.5% daripada jumlah hasil, manakala segmen pembuatan menyumbang RM600,000.
Katanya, dari segi pengagihan geografi, hasil domestik merangkumi 77.5% daripada jualan suku ini, meningkat daripada 72.5% pada suku sebelumnya, disebabkan permintaan yang kukuh di Malaysia.
Berbanding 1QFY25, hasil meningkat sebanyak 22.5% daripada RM95.0 juta. Walaupun terdapat peningkatan hasil, untung bersih susut daripada RM2.6 juta kepada RM1.4 juta.
"Penurunan ini berpunca daripada strategi penetapan harga yang disengajakan oleh Saliran bagi mengekalkan pelanggan sedia ada dan menarik akaun baharu, yang merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang kumpulan untuk mendapatkan pelanggan baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi tempoh kewangan enam bulan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), Saliran mencatatkan hasil terkumpul sebanyak RM211.3 juta, dengan untung bersih sebanyak RM4 juta.
Bagi mengukuhkan lagi agenda pertumbuhan strategiknya, Saliran telah menajlinkan kerjasama strategik pada 6 Ogos 2025 bersama Maoming Port Group (China) dan PCA Group (Malaysia).
Kerjasama ini bertujuan untuk memupuk sinergi industri dalam sektor minyak dan gas melalui pertukaran teknikal, latihan, dan kerjasama penyelidikan. Ia merangkumi penapisan karbon rendah, inovasi kilang pintar, serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Pengarah Urusan Saliran, Liaw Choon Wei berkata, pihaknya berpuas hati dengan pertumbuhan hasil pada 2QFY25 yang mencerminkan permintaan yang sihat daripada projek tempatan.
"Walaupun margin keuntungan sedikit terjejas akibat inisiatif penetapan harga strategik, kami percaya langkah ini penting untuk menjamin komitmen jumlah jualan jangka panjang dan mengekalkan kesetiaan pelanggan," katanya.
Selepas penyenaraian berjaya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Mac 2025, kumpulan terus melaksanakan pelan pengembangan yang dibiayai melalui dana IPO.
Sehingga 30 Jun 2025, sebanyak RM10.6 juta daripada RM21.7 juta hasil IPO telah digunakan, terutamanya untuk modal kerja dan kos berkaitan penyenaraian.
Peruntukan yang dirancang bagi pembelian jentera, trak penghantaran, dan penubuhan pejabat jualan di Indonesia sedang dijalankan dan dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam suku-suku akan datang - DagangNews.com








