Saingan sengit pengeluar sarung tangan dari China, penganalisis bimbang hasil Kossan terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saingan sengit pengeluar sarung tangan dari China, penganalisis bimbang hasil Kossan terjejas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Perkembangan hasil Kossan Rubber Industries Berhad terus menjadi kebimbangan disebabkan ketidaktentuan berterusan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) serta saingan sengit daripada pengeluar sarung tangan dari China.

 

MBSB Research berkata, faktor-faktor luaran itu dijangka terus memberi tekanan kepada keupayaan Kossan bagi pengembangan hasil, sekali gus mengehadkan prospek pertumbuhan dalam masa terdekat.

 

"Ketidaktentuan tarif AS menyebabkan beberapa pelanggan menangguhkan tempahan, manakala pengeluar dari China terus menekan harga di pasaran global," katanya dalam satu nota kajian.

 

Pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), hasil Kossan menyusut sebanyak 11.1% tahun ke tahun kepada RM382.2 juta, dengan segmen sarung tangan mencatatkan penurunan hasil sebanyak 10.7% kepada RM315.1 juta. 

 

Penurunan itu turut disumbang oleh gangguan pengeluaran selama 10 hari pada April lalu susulan gangguan bekalan gas akibat letupan saluran paip oleh Gas Malaysia.

 

Ketika cabaran luaran berterusan, Kossan turut menghadapi kelembapan dalam penghantaran serta permintaan yang lebih perlahan merentas semua divisyen – termasuk produk getah teknikal dan bilik bersih – yang masing-masing mencatatkan penurunan hasil sebanyak -12.6% dan -12.3%.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025/2026/2027 sebanyak 26%/27%/23% bagi mencerminkan semakan andaian kadar pertukaran kepada RM4.35/USD (-4%), kadar penggunaan kapasiti yang lebih rendah sebanyak 70%/70%/70% (daripada 73%/70%/70%) bagi FY25–FY27, serta pengurangan tenaga kerja.

 

Katanya, Kossan kekal dengan kedudukan kewangan yang kukuh, dengan tunai bersih sebanyak RM1.65 bilion setakat suku kedua 2025. Syarikat juga telah memperluas rangkaian produknya dengan memperkenalkan sarung tangan khas baharu setiap tahun.

 

Selain itu, syarikat turut memperluas kemudahan pengeluaran sarung tangan bilik bersih sebanyak 700 juta hingga 800 juta keping setahun dengan kilang pengeluaran dijangka siap menjelang FY26.

 

"Pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti produk dan kecekapan kos," katanya.

 

Sementara itu, RHB Research meramalkan, purata harga jualan (ASP) kekal mendatar disebabkan penurunan harga bahan mentah.

 

Bagaimanapun katanya, kesan daripada penurunan harga bahan mentah itu dijangka dapat meredakan risiko kenaikan kos yang berpunca daripada pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas (berkuat kuasa sejak Julai) serta caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing yang dijadualkan berkuat kuasa pada Oktober.- DagangNews.com