KUALA LUMPUR 31 Julai - Bursa Securities memberikan tempoh sehingga 7 Ogos ini kepada Pestec International Bhd bagi mengemukakan laporan tahunan kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25) dan sekiranya gagal, dagangan saham mereka akan digantung pada hari berikutnya.
Syarikat kejuruteraan yang mencatatkan kerugian itu gagal mengemukakan laporan tahunannya— termasuk penyata kewangan beraudit tahunan, serta laporan juruaudit dan pengarah — kepada Bursa Securities untuk siaran awam dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada 31 Julai.
Pestec berkata, kelewatan tersebut disebabkan oleh “semakan berterusan oleh pihak pengurusan baharu terhadap maklumat dan dokumen yang diperlukan untuk menyiapkan penyata kewangan beraudit”.
“Syarikat dijangka mengemukakan laporan tahunan 2025, bersama penyata kewangannya pada atau sebelum 7 Ogos,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Di bawah keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities, dagangan sekuriti Pestec akan digantung sekiranya syarikat gagal mengemukakan laporan tahunannya bagi FY25 dalam tempoh lima hari pasaran, iaitu pada atau sebelum 7 Ogos.
“Penggantungan akan berkuat kuasa pada hari pasaran berikutnya selepas tarikh akhir penggantungan (8 Ogos) dan akan ditarik balik pada hari pasaran selepas laporan tahunan 2025 berserta penyata kewangan dikeluarkan, melainkan ditentukan sebaliknya oleh Bursa Securities,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas CEO, Timbalan Pengerusi saman Pestec tuntut bayaran tertunggak RM17.52 juta
Kumpulan itu juga mungkin berdepan risiko dinyahsenarai sekiranya gagal mengemukakan laporan tahunan yang tertunggak dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir.
Kelewatan itu berlaku akibat pergolakan dalam lembaga pengarah dan pertikaian undang-undang dalam syarikat.
Pada 18 Julai, Pestec mengumumkan pemecatan serta-merta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lim Pay Chuan, selepas enggan kembali bekerja berikutan pertikaian berkaitan dakwaan pemecatan konstruktif — yang dinafikan oleh syarikat.
Pay Chuan, yang sebelum ini telah memfailkan representasi di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan, telah disusun semula sebagai pengarah bukan eksekutif. Bapa saudaranya, bekas timbalan pengerusi Lim Ah Hock, turut disusun semula sebagai pengarah bukan eksekutif pada hari yang sama.
Tidak lama selepas itu, kedua-duanya memfailkan saman terhadap Pestec untuk menuntut sejumlah RM17.52 juta yang didakwa sebagai pendahuluan yang belum dibayar. Mahkamah Tinggi telah menetapkan pengurusan kes pada 4 Ogos.
Pertikaian undang-undang ini berlaku selepas pelaksanaan penempatan saham terhad pada penghujung tahun lalu, yang menyaksikan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) muncul sebagai pemegang saham pengawal baharu Pestec, dengan pegangan semasa sebanyak 61.39%.
Langkah itu telah mencairkan pegangan saham langsung Pay Chuan kepada 4.52%, menyebabkan beliau tidak lagi menjadi pemegang saham utama. - DagangNews.com








