Saham Oasis Home dibuka pada 28.5 sen sebelum susut di bawah harga IPO pada penampilan sulung Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Oasis Home dibuka pada 28.5 sen sebelum susut di bawah harga IPO pada penampilan sulung Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - Saham pemasar dan penjual produk gaya hidup pengguna saluran omni, Oasis Home Holdings Bhd dibuka pada harga 28.5 sen atau 1.78% lebih tinggi berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 28 sen sebelum mencatatkan penyusutan ketara pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.

 

Saham syarikat itu jatuh serendah 25.5 sen dalam beberapa minit dan diniagakan pada 28 sen pada jam 9.10 pagi, selepas hampir 14 juta saham bertukar tangan.

 

Minat pelabur terhadap Oasis Home adalah sederhana bahkan sebelum hari penyenaraian, dengan permohonan IPO hanya melebihi 0.55 kali daripada jumlah saham yang diperuntukkan kepada orang awam.

 

Oasis Home, yang memasarkan dan menjual produk gaya hidup pengguna seperti peralatan dapur, barangan penjagaan diri, makanan tambahan dan peralatan rumah kecil, memperoleh lebih 75% daripada hasilnya melalui sesi perdagangan langsung yang dijalankan di platform seperti Facebook, TikTok, serta aplikasi mudah alih dan laman web miliknya.

 

Syarikat itu juga menjual melalui pasaran e-dagang termasuk Shopee, Lazada dan TikTok Shop, dan mengekalkan saluran luar talian seperti pusat pengalaman produk, bilik pameran bergerak dan jualan gudang.

 

IPO tersebut telah mengumpulkan RM42 juta untuk Oasis Home, di mana lebih separuh daripadanya akan digunakan untuk mengembangkan saluran jualan perdagangan langsung dan menubuhkan pusat pemenuhan dalaman. 

 

Baki dana akan digunakan untuk mendirikan ibu pejabat korporat baharu, sebagai modal kerja, dan untuk menampung kos penyenaraian.

 

Sementara itu, tawaran untuk jualan telah menjana RM14 juta, yang sepenuhnya diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Oasis Home, Datuk Teoh Yee Seang, satu-satunya pemegang saham yang menjual saham berkenaan. Pegangan langsung Yee Seang dalam syarikat itu akan dicairkan kepada 35% selepas penyenaraian.

 

Yee Seang berkata, pihaknya kekal komited untuk mengukuhkan asas perniagaan, mencipta nilai jangka panjang dan membina masa depan mampan untuk syarikat.

 

Katanya, menurut laporan Penyelidikan Pasaran Bebas (IMR) yang disediakan oleh Providence Strategic Partners Sdn Bhd, pasaran perdagangan langsung (live commerce) di Asia Tenggara dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 42.50%, disokong oleh peningkatan penggunaan digital dan kemajuan berterusan dalam infrastruktur pembayaran serta logistik.

 

“Unjuran positif ini mengukuhkan keyakinan kami untuk mengembangkan kehadiran dalam perdagangan langsung, yang kekal sebagai pemacu hasil utama syarikat," katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan itu berada dalam kedudukan positif dengan landskap digital di Malaysia yang terus berkembang dan semakin ramai pengguna menerima konsep perdagangan langsung, syarikat bersedia untuk meraih bahagian pasaran yang lebih besar.

 

“Dengan sokongan semua pihak yang telah membantu kami mencapai tahap ini, kami yakin Oasis Home akan terus berkembang, menyesuaikan diri, dan membina masa depan yang mampan demi manfaat pelanggan serta pemegang kepentingan kami," katanya.

 

MIDF Amanah Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO ini. - DagangNews.com