Saham Cheeding melonjak 72 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Cheeding melonjak 72 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt – Cheeding Holdings Bhd memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE dengan prestasi memberangsangkan apabila harga sahamnya melonjak dua kali ganda kepada 72 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 36 sen.

 

Setakat pukul 9.06 pagi tadi, penyedia rumusan kejuruteraan utiliti itu diniagakan antara 70 sen hingga 78 sen dengan lebih 56 juta unit saham bertukar tangan. 

 

Kaunter itu dibuka pada harga 70 sen, memberikan syarikat itu modal pasaran dianggarkan sekitar RM574 juta, hampir dua kali ganda daripada penilaian indikatif sebanyak RM287 juta.

 

Cheeding mengumpul RM51.5 juta hasil daripada IPO berkenaan melalui terbitan 143 juta saham baharu. 

 

Hasil kutipan itu diperuntukkan bagi modal kerja sebanyak RM24.6 juta, bon prestasi (RM16.2 juta), pemerolehan jentera (RM3.2 juta), bayaran balik pinjaman bank (RM2.3 juta) serta perbelanjaan penyenaraian (RM5.2 juta).

 

Syarikat itu menunjukkan pertumbuhan yang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan hasil meningkat daripada RM9.5 juta pada tahun kewangan 2022 kepada RM117.7 juta pada tahun kewangan 2025.

 

Keuntungan selepas cukai turut meningkat kepada RM26.3 juta, disokong oleh buku pesanan kukuh bernilai RM202.7 juta setakat pertengahan Ogos lalu.

 

Baru-baru ini, Cheeding memperoleh kontrak bernilai RM33.94 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi membangunkan sambungan bekalan elektrik untuk sebuah pusat data di Johor.

 

Kontrak tersebut berkuat kuasa pada 2 Oktober dan akan disiapkan dalam tempoh 240 hari. 

 

Ia dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan syarikat.

 

Pusat data berkenaan, yang terletak di Pembangunan Tropicana, Gelang Patah, dilaksanakan oleh Computility Technology Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung kepada ZData Technologies Co Ltd, penyedia perkhidmatan penyepaduan rangkaian awan dan infrastruktur IT digital berpangkalan di Beijing.

 

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi, Ng Lam Shein, menyifatkan penyenaraian tersebut sebagai langkah awal bagi Cheeding untuk merebut peluang baharu dalam pemodenan grid elektrik Malaysia dan peralihan tenaga boleh diperbaharui.

 

TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com