KUALA LUMPUR 4 Sept – Sacofa Sdn Bhd, penyedia infrastruktur telekomunikasi terkemuka Sarawak memeterai kerjasama strategik bersama syarikat teknologi global, ZTE Corporation bagi memodenkan rangkaian telekomunikasi negeri itu.
Langkah ini dilihat sebagai pemacu penting dalam usaha Sarawak mencapai aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID Sarawak (PCDS) 2030 serta Pelan Induk Digital Sarawak 2030 yang menekankan transformasi ekonomi berasaskan digital dan teknologi maklumat.
Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pemodenan menyeluruh rangkaian teras pengangkutan, routing dan lapisan optikal dengan penggunaan teknologi full-band Optical Transport Network (OTN) yang mampu mencapai kapasiti sehingga 1.6 terabait.
Selain itu, rangkaian baharu ini turut dilengkapi dengan kawalan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kebolehpercayaan lebih tinggi serta kecekapan spektrum yang optimum. Ia akan membolehkan penghantaran data lebih pantas, stabil dan berskala besar.
Antara ciri utama yang dibawa termasuk pemproses Enhanced Deterministic Networking (EDN) 6-dalam-1, yang menyokong kelajuan penghantaran tinggi dengan prestasi berlatensi rendah.
Teknologi ini amat penting untuk aplikasi masa nyata seperti perkhidmatan awan, Internet Pelbagai Benda (IoT), serta penyelesaian industri pintar.

Pengarah Urusan Sacofa, Datuk Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata, projek pemodenan ini akan memperkukuh asas infrastruktur digital negeri dan melonjakkan Sarawak ke tahap seterusnya.
“Kerjasama dengan ZTE akan menambah baik kapasiti serta kebolehpercayaan rangkaian sedia ada.
“Sacofa bersedia menukar kelebihan ini kepada pertumbuhan ekonomi, peluang perniagaan dan kesiapsiagaan operasi yang lebih mantap,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, langkah ini akan membuka lebih banyak ruang kepada pelaburan digital, sekali gus menyokong agenda kerajaan negeri dalam menjadikan Sarawak pusat ekonomi digital serantau menjelang 2030.
Sementara itu, Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Steven Ge berkata, kerjasama dengan Sacofa membuktikan komitmen ZTE untuk membawa kepakaran global dalam teknologi pengangkutan teras dan optikal ke Sarawak.
“Melalui kerjasama ini, kita akan membangunkan tulang belakang digital berdaya tahan dan future-proof bagi menyokong perkhidmatan 5G, teknologi berasaskan awan, serta aplikasi AI.
“Ini seiring dengan visi kerajaan negeri ke arah ekonomi digital yang dinamik dan inklusif,” jelasnya.
Sacofa kini mengendalikan lebih 11,000 kilometer kabel gentian optik serta lebih 1,688 menara komunikasi di seluruh Sarawak. Infrastruktur ini menjadikan syarikat berkenaan peneraju utama dalam landskap telekomunikasi negeri dan pelengkap kepada ekosistem digital tempatan.
Kerjasama strategik dengan ZTE turut dijangka memperkukuh daya saing Sarawak dalam menarik pelaburan teknologi asing, khususnya dalam bidang pusat data, perkhidmatan berasaskan awan dan perniagaan digital baharu.
Selain itu, pemodenan rangkaian juga dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat Sarawak melalui capaian internet lebih pantas, liputan yang lebih meluas, serta kestabilan sambungan yang lebih baik di kawasan bandar dan luar bandar.- DagangNews.com








