Sabah, Sarawak terima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026, bukti komitmen Perjanjian Malaysia 1963 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah, Sarawak terima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026, bukti komitmen Perjanjian Malaysia 1963

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt – Sabah dan Sarawak menerima peruntukan Persekutuan tertinggi dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia adalah bukti komitmen kerajaan Persekutuan terhadap  Perjanjian Malaysia 1963 dengan memastikan kepesatan pembangunan di Sabah dan Sarawak. 

 

“Ini bukan sekadar janji, tetapi adalah tindakan nyata bagi merapatkan jurang pembangunan, terutamanya dari segi prasarana asas.

 

 

 

 

 

 

“Sabah menerima peruntukan pembangunan meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022 manakala Sarawak pula meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada 2022. 

 

“Selain itu, kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta mulai tahun ini, naik daripada RM300 juta pada 2023,” katanya.

 

Walaupun kawal selia bekalan elektrik diserah sepenuhnya kepada Sabah pada Januari tahun lalu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan. 

 

Perdana Menteri berkata, insiden tanah runtuh di Penampang yang memutuskan dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi telah mengakibatkan gangguan bekalan kepada 230,000 pengguna di pantai timur Sabah. 

 

“Langkah segera diambil untuk memulihkan bekalan, sementara untuk kelangsungan jangka panjang, dengan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link.

 

“Sejak 2024, Kerajaan Persekutuan juga menyediakan pembiayaan RM1bilion untuk projek air di Sabah, termasuk pemasangan paip baharu di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

 

“Projek ini sedang dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan,” katanya.

 

Bagi projek lebuh raya di Sabah dan Sarawak, 9 pakej Pan Borneo Sarawak telah siap sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan rakyat. 

 

Selain itu, 4 pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A juga telah siap dan pada tahun 2026, sebanyak RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah yang dilaksanakan mengikut jadual. 

 

Beliau berkata, projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 dijangka siap pada November 2026 manakala Fasa 2 sedang dibina dan dijangka siap pertengahan 2029. 

 

“Projek Lebuhraya Trans Borneo pula melengkapkan jalan perhubungan antara Sabah dan Sarawak, dengan Surat Setuju Terima dikeluarkan seawal suku pertama 2026. 

 

“Selain itu, kerajaan akan menaik taraf struktur turapan jalan sedia ada di jajaran red line, seksyen Durin dan Salim, Sibu, Sarawak dengan kos 350 juta ringgit. Kesemua projek prasarana rakyat ini melibatkan kos keseluruhan mencecah RM48 bilion,” katanya.

 

Bagi memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung menikmati manfaat digital sepenuhnya, Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion.

 

 

 

 

Beliau berkata, laluan kabel dasar laut ini menghubungkan Sedili di Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak, seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

 

“Selain itu,RM 20 juta disediakan untuk menambah tapak dan ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas kepada peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak,” katanya. - DagangNews.com