Sabah mula bina loji jana kuasa hidro Projek Oriole RM3 bilion di Sipitang tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah mula bina loji jana kuasa hidro Projek Oriole RM3 bilion di Sipitang tahun ini

KUALA LUMPUR 10 April – Sabah dijangka memulakan pembinaan sebuah loji jana kuasa hidro berkapasiti 162 megawatt di Sipitang tahun ini, dikenali sebagai Projek Oriole yang bernilai hampir RM3 bilion.

 

Projek itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat Jentayu Sustainables Berhad, Oriole Power Sdn Bhd, melalui kerjasama dengan Yayasan Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

 

Pengerusi Eksekutif Jentayu, Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata, pihaknya sedang memuktamadkan beberapa perjanjian penting termasuk Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) serta kontrak reka bentuk, pembinaan dan pentauliahan loji tersebut.

 

"Kami mohon kadar 31.5 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh)," katanya ketika ditemui semasa sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Jentayu di sebuah hotel di Kota Kinabalu, semalam seperti laporan New Straits Times.

 

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

 

Beroz berkata, loji tersebut dijangka siap dan mula beroperasi selewat-lewatnya pertengahan tahun 2029.

 

"Ini adalah tenaga hijau dan dalam jangka masa panjang, ia akan menjadi sumber tenaga yang sangat berbaloi untuk Sabah," jelasnya.

 

Tambah beliau, sebagai syarikat milik anak jati Sabah, Jentayu bertanggungjawab membekalkan tenaga elektrik yang stabil dan mampu milik demi kepentingan rakyat.

 

Dalam masa sama, beliau turut berkongsi kejayaan projek hidro utama syarikat itu iaitu Telekosang 1 dan 2 di Tenom yang telah beroperasi hampir dua tahun.

 

"Kami kini membekalkan tenaga ke grid dengan kadar yang antara paling murah di Sabah, hanya 24 sen per kWh.

 

"Dua loji di Telekosang itu mempunyai kapasiti gabungan sebanyak 40 megawatt – 24 megawatt dari Telekosang 1 dan 16 megawatt dari Telekosang 2," ujarnya.

 

Beroz berkata, musim hujan menyumbang kepada pengeluaran maksimum sehingga 44 megawatt.

 

"Inilah pelaburan langsung domestik oleh rakyat Sabah, untuk rakyat Sabah," katanya. - DagangNews.com