KUALA TERENGGANU 22 Sept – Penganjuran program motosikal dengan nama RXZ Members adalah sangat sinonim dengan negeri Terengganu sahaja dan tidak sesuai diadakan di negeri lain menggunakan nama yang sama, kata penganjur program berkenaan, Mohamad Faizal Mat Ali.
Beliau menegaskan jenama RXZ Members itu lahir di Terengganu dan berharap penganjuran di negeri lain akan menggunakan nama program selain itu.
Katanya, setiap negeri mempunyai komuniti RXZ tersendiri dan pernah membuat penganjuran serupa dengan pelbagai nama berbeza.
“Kalau di Pahang, penganjuran sebelum ini guna nama RXZ Fighters dan di Kelantan, ia dipromosikan sebagai Mat Motor Day.
“Di negeri lain boleh cipta jenama masing-masing. Tetapi untuk Terengganu, biarlah ia kekal dengan nama RXZ Members,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
RXZ Members yang dimulakan di Terengganu sejak tujuh tahun lalu hanyalah program kecil yang menghimpunkan peminat sukan permotoran itu.

Namun, ia semakin mendapat tempat di hati peminat RXZ hingga mencetuskan fenomena gelombang yang sangat besar dengan sambutan lebih 100,000 pengunjung dalam penganjuran di Litar Gong Badak, Kuala Nerus pada Ogos lalu.
Program itu bagaimanapun dilanda kontroversi apabila pimpinan tertinggi negeri Terengganu tidak dijemput sebagai tetamu kehormat menyebabkan ada cadangan agar penganjurannya diubah ke negeri lain pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan maklum balas peserta Himpunan RXZ Members 7.0, kebanyakan mereka mahu ia dikekalkan di Terengganu kerana keunikan negeri yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi terutama laluan pesisir pantai yang mempunyai pemandangan memukau.
“Ramai yang hubungi saya berkongsi pengalaman manis mereka sepanjang dua hari program itu berlangsung.
“Ia bukan sekadar himpunan biasa, namun menonjolkan sisi positif rakyat Terengganu yang menyambut mereka sebagai tetamu istimewa.
“Sambutan hangat yang diberikan seawal memasuki Kemaman atau Besut berterusan hingga program tamat termasuk diskaun Istimewa kedai makan, pemilik inap desa serta jamuan khas yang disediakan banyak masjid, sangat menyentuh hati mereka,” katanya.
Ditanya mengapa penganjuran di negeri lain tidak sehebat di Terengganu pula, beliau berkata, penganjuran program yang melibatkan terlalu ramai peserta bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
“Persediaan sangat rapi perlu dibuat untuk memastikan ia berjalan lancar dan kami di Terengganu sangat bertuah kerana rakyat negeri ini sendiri menyokong penuh penganjuran RXZ Members.
“Kos penganjurannya juga sangat besar hampir RM1 juta melibatkan banyak aspek dari sewaan litar, system audio, pentas utama serta pengisian program yang menarik.
“Kami gembira sekiranya kejayaan program RXZ Members ini menarik minat banyak pihak untuk menganjurkannya di negeri lain, cuma gunakan nama yang lain agar RXZ Members kekal milik Terengganu,” katanya. - DagangNews.com








