Royal Brunei Airlines sertai AirAsia MOVE, tawar rangkaian lebih luas meliputi Asia, Australia dan UK | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Royal Brunei Airlines sertai AirAsia MOVE, tawar rangkaian lebih luas meliputi Asia, Australia dan UK

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 April – Royal Brunei Airlines kini menjadi rakan penerbangan langsung terbaharu di platform AirAsia MOVE,  tawarkan rangkaian yang lebih luas kepada pelanggan merantasi Asia, Australia, dan United Kingdom (UK). 

 

Kerjasama itu bertujuan memperluas rangkaian penerbangan serantau, memperkukuh capaian Royal Brunei Airlines dalam kalangan pengguna AirAsia MOVE, serta menyediakan kemudahan tempahan yang lebih menyeluruh, dan efisien kepada pengembara moden.

 

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama telah berlangsung di ibu pejabat AirAsia MOVE di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang disempurnakan oleh Ketua OTA (agen pelancongan dalam talian), Yeoh Sai Ho, dan Pengurus Jualan Wilayah Barat, Royal Brunei Airlines, Noor Hidayah Abdullah.

 

AirAsia MOVE dan Royal Brunei Airlines menawarkan promosi eksklusif dengan diskaun sehingga 35% bagi tambang pergi balik ke destinasi seperti Brunei, Manila, Beijing, Taipei, dan banyak lagi.

 

Tawaran itu sah untuk tempahan sehingga 30 April 2025 bagi tempoh perjalanan antara 18 April hingga 30 November 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, Nadia Omer berkata, mereka berasa teruja menerima Royal Brunei Airlines sebagai sebahagian daripada rangkaian rakan penerbangan. 

 

"Kerjasama ini memberikan lebih banyak pilihan kepada pengembara dan mengukuhkan komitmen kami dalam menawarkan pengalaman tempahan perjalanan yang lancar dan menyeluruh.

 

"Malahan, ia merupakan langkah positif dalam meningkatkan capaian kepada penerbangan Royal Brunei Airlines melalui platform yang lebih mesra pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

 

Antara kelebihan utama adalah  aplikasi AirAsia MOVE yang intuitif dan mudah digunakan, menjadikan perancangan perjalanan lebih efisien.

 

Selain Royal Brunei Airlines, AirAsia MOVE turut bekerjasama secara langsung dengan lebih 70 syarikat penerbangan ternama lain.  

 

Platform itu juga menyediakan akses kepada lebih 900,000 hotel di seluruh dunia, termasuk kemudahan sambungan awal dan akhir perjalanan seperti perkhidmatan pemindahan lapangan terbang, serta produk pelancongan lain seperti beli-belah bebas cukai atas talian, insurans perjalanan, dan banyak lagi.

 

Kesemua perkhidmatan itu disokong oleh program kesetiaan AirAsia Rewards, yang membolehkan pengguna memperoleh dan menebus mata AirAsia Points bagi setiap transaksi dalam ekosistem aplikasi tersebut.- DagangNews.com