KUALA LUMPUR 10 April – Pelakon dan penerbit terkenal tanah air, Datuk Rosyam Nor dilantik sebagai duta baharu jenama Wasiyyah Shoppe Berhad sempena Majlis Pelancaran Wajah Baharu Jenama syarikat itu yang diadakan di Concorde Hotel, Shah Alam hari ini.
Pelakon berusia 58 tahun itu berkata, beliau menerima lantikan itu kerana melihat terdapat kebaikan serta perubahan positif yang boleh disampaikan kepada masyarakat.
Beliau menyedari, ia bukan tugas mudah namun percaya ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul untuk menyampaikan mesej penting berkaitan pengurusan harta pusaka secara Islam.
Menurut beliau lagi, keterbukaannya menerima peranan ini lahir daripada penghayatan terhadap kepentingan perancangan wasiat dan pengurusan harta secara Islam.

Rosyam menjelaskan, penglibatan beliau dalam bidang pengurusan pewarisan berpunca daripada kesedaran peribadi sebagai seorang ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab terhadap hartanya selain mula memikirkan tentang pengurusan harta kerana kesemua anaknya adalah perempuan.
Apabila ditanya bagaimana beliau yang berasal dari dunia perfileman kini melibatkan diri dalam dunia pengurusan pewarisan.
"Apabila saya telah berjumpa dengan beberapa syarikat untuk menguruskan harta saya, dan saya nampak Wasiyyah adalah syarikat yang terbaik boleh menguruskan harta saya.
"Jadi sebab itulah saya memilih Wasiyyah. Alhamdulillah, akhirnya saya dipilih pula menjadi duta baharu kepada Wasiyyah," katanya ketika ditemui semasa pelancaran indentiti baharu Wasiyyah, hari ini.
Majlis itu dihadiri Pengerusi Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin.

Pelantikan Rosyam sebagai duta kumpulan itu juga bertujuan memperkukuhkan imej korporat syarikat dan menyampaikan mesej perancangan harta Islam kepada khalayak secara meluas.
Pelancaran penjenamaan baharu dan duta baharu jenama itu dilihat sebagai langkah strategik Wasiyyah dalam memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan pewarisan Islam secara profesional dan berlandaskan syariah di Malaysia.- DagangNews.com








