KUALA LUMPUR 12 Ogos - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka membuka jalan bagi Belanjawan 2026 untuk memberikan rangsangan positif kepada sektor pembinaan, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata, peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM430 bilion, atau purata RM86 bilion setahun, berpotensi mencetuskan pelaksanaan projek infrastruktur utama sebelum pilihan raya umum akan datang pada Februari 2028.
Walaupun belanjawan persekutuan sebelum ini biasanya tidak memberi impak besar kepada sektor pembinaan tetapi CGSI menjangkakan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober 2025 akan menajdi berbeza.
"Pada pandangan kami, Belanjawan 2026 akan menjadi platform untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan hala tuju bagi pelaksanaan projek infrastruktur utama sebelum pilihan raya umum yang perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2028.
"Oleh itu, kami menjangkakan perubahan akan erlaku berbanding Belanjawan 2025 di mana beliau menyatakan, 'sekarang bukan masanya untuk melancarkan projek mega'," katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan itu disokong pengurangan subsidi dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan.
"Kami juga berpendapat kerajaan sedar sektor pembinaan mempunyai kesan pengganda yang kuat memandangkan hubungannya yang rapat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.
Sementara itu, CGSI menjangkakan anugerah projek pusat data akan dipercepatkan pada separuh kedua 2025 (2H25) dan juga pada tahun kalendar 2026.
Katanya, terdapat lima tender pusat data untuk Pearl Computing yang akan dianugerahkan mulai suku ketiga 2025 (3Q25) dan termasuk tanah di Negeri Sembilan, jumlah tender boleh meningkat kepada sekurang-kurangnya 13.
"Dalam ruang bahan binaan seperti simen, terdapat juga bukti lanjut bahawa pelaksanaan projek pusat data semakin rancak dengan pertumbuhan kukuh dan pengembangan margin bagi bahagian konkrit siap bancuh MCement.
"Kami percaya potensi kenaikan bagi sektor pusat data akan datang daripada siri pembelian tanah oleh Microsoft pada 2023 dan 2024 di Johor, memandangkan tender-tender tersebut masih belum dibuka," katanya.
Untuk tempoh enam bulan akan datang, CGSI berkata, pelabur harus memberi tumpuan kepada keterlihatan penganugerahan kontrak.
Selain itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor ini, dengan saham pilihan utama termasuk Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, dan Malayan Cement Bhd.
"Namun begitu, risiko penurunan termasuk persaingan yang sengit dalam sektor pusat data, kadar levi pekerja asing yang lebih tinggi, dan kos bahan yang meningkat.
"Pemangkin penarafan semula adalah pelaksanaan projek yang lebih pantas dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI)," katanya.- DagangNews.com








