RM2 juta dana zakat wakalah biayai latihan sektor minyak dan gas untuk 47 anak asnaf Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM2 juta dana zakat wakalah biayai latihan sektor minyak dan gas untuk 47 anak asnaf Terengganu

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Mei – Sebanyak RM2 juta dana zakat wakalah digunakan bagi membiayai latihan teknikal dan penempatan industri selama enam bulan kepada 47 anak asnaf Terengganu, menerusi program Oil and Gas Wakalah Technical and Vocational Education Training Programme (OGWTP). 

 

Program tersebut hasil kerjasama Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP), Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), Dana Asy-Syakirin, Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), dan lebih 20 syarikat industri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, program itu memberi peluang kepada anak asnaf menceburi bidang berpendapatan tinggi dan keluar daripada belenggu kemiskinan.

 

"Sebahagian besar peserta merupakan anak asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan penerima bantuan zakat," katanya ketika merasmikan Majlis Penutup OGWTP Kumpulan 2/2024 di INSTEP.

 

Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Eksekutif YPM, Norhana Yaakub, dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.

 

Ariffin berkata, peruntukan besar hasil sumbangan zakat kakitangan Petronas serta kerjasama erat bersama kerajaan negeri menjadi pemangkin kepada kejayaan program tersebut.

 

"Dana program ini disumbangkan oleh kakitangan Petronas melalui zakat wakalah dan digerakkan dengan kerjasama MAIDAM dan kerajaan negeri.

 

"Kita ada bajet zakat daripada MAIDAM, termasuk zakat pekerja Petronas serta kerjasama THRDC," katanya.

 

Sebanyak 47 peserta menerima sijil tamat latihan dalam majlis tersebut, yang turut menawarkan pensijilan industri penting termasuk Sijil Kemahiran Pendawaian Kabel, Non-Destructive Testing (NDT) Tahap 2, Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Oil and Gas Safety Passport (OGSP), bantuan cemas, dan Basic Offshore Safety Induction and Emergency Training (BOSIET).

 

Tempoh penempatan industri juga dilanjutkan kepada enam bulan bagi meningkatkan kebolehpasaran pelatih.

 

"Ini kali kedua program dijalankan selepas kumpulan pertama tamat latihan tahun lalu. Sebanyak 20 syarikat terlibat menawarkan peluang pekerjaan,” tambah Ariffin.

 

Program OGWTP akan diteruskan dan diperluas bagi memberi manfaat kepada lebih ramai anak asnaf di seluruh Terengganu, selaras usaha negeri membangunkan modal insan melalui kemahiran teknikal.- DagangNews.com