KUALA LUMPUR 10 Dis – Pahang memiliki kira-kira 1.4 juta tan rizab unsur nadir bumi (REE) dengan anggaran nilai sebanyak RM37.4 bilion, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib.
Beliau berkata, data tersebut adalah hasil kajian yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bermula dari tahun 2016 hingga 2020.
“Kira-kira 70% kawasan berpotensi memiliki REE terletak di dalam Hutan Simpan manakala baki 30% terletak di tanah persendirian dan tanah milik kerajaan negeri.
“Harga pasaran semasa untuk karbonat RE ialah AS$6,456.47 (RM26,549.20) setiap tan metrik mengikut semakan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Pahang setakat 28 November 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang meminta penjelasan mengenai cadangan penubuhan hab pemprosesan REE Pahang di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Selain itu, Mohamad Nizar berkata, kerajaan negeri telah meluluskan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) semasa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 18 Jun lalu.
“Melalui Pahang Mining Corp, kita sedang menjalankan kajian terperinci mengenai potensi rizab mineral khususnya REE, bagi menentukan saiz rizab sebenar dan kebolehlaksanaan projek.
“Kerajaan negeri juga menumpukan kepada operasi perlombongan hulu untuk memastikan aktiviti perlombongan dijalankan secara lestari dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Operasi hulu juga penting untuk meyakinkan pelabur dalam membangunkan hab pemprosesan REE hiliran atau tengah,” katanya.
Beliau menjelaskan, Jawatankuasa Pelaburan Negeri ada menerima beberapa cadangan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa berhubung perkara itu dan ia sedang diteliti sewajarnya.
“Industri REE Malaysia yang kukuh akan memberi impak global, malah boleh menjadikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan yang lebih penting, tetapi kita perlu lebih tersusun,” tambahnya.
Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, Pahang sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan pusat data serta pelaburan berkaitan teknologi kecerdasan buatan.
“Namun, setiap pembangunan pusat data perlu dirancang secara berhati-hati agar selaras dengan keupayaan infrastruktur asas negeri seperti bekalan air, kapasiti tenaga elektrik dan rangkaian gentian optik.
“Kesemua elemen ini merupakan prasyarat penting untuk memastikan pelaburan digital dapat beroperasi secara stabil dan mampan,” katanya. - DagangNews.com








