KUALA LUMPUR 7 Ogos – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$121.3 bilion setakat 31 Julai 2025, berbanding AS$120.61 bilion pada akhir Jun lalu, sekali gus mencerminkan kekukuhan kedudukan luaran negara.
BNM dalam satu kenyataan memaklumkan paras rizab tersebut adalah mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
"Paras ini mencerminkan tahap kecairan yang selesa bagi negara untuk memenuhi keperluan perdagangan dan pembayaran hutang luar dalam jangka masa terdekat," kata BNM.
Setakat 31 Julai 2025, jumlah aset BNM adalah sebanyak RM603.2 bilion, dengan simpanan emas dan pertukaran asing termasuk Hak Pengeluaran Khas (SDR) berjumlah RM512.8 bilion.
Daripada jumlah rizab antarabangsa tersebut, komponen terbesar adalah rizab mata wang asing sebanyak AS$107.7 bilion.
Ia diikuti oleh SDR sebanyak AS$5.9 bilion, emas (AS$4.1 bilion) dan kedudukan rizab dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak AS$1.3 bilion serta aset rizab lain sebanyak AS$2.3 bilion.
Rizab antarabangsa memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur serta kestabilan nilai ringgit, selain menjadi penampan terhadap ketidaktentuan pasaran global.
Peningkatan rizab ini memberi gambaran bahawa Malaysia masih berada dalam landasan kewangan yang stabil, meskipun berdepan dengan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global. - DagangNews.com







