KUALA LUMPUR 26 Ogos - Penganalisis menurunkan penarafan MSM Malaysia Holdings Berhad kepada "jual" akibat keputusan kewangan yang lemah daripada jangkaan dan prospek masa depan yang suram terutamanya disebabkan risiko lambakan gula dari Thailand selepas Cina mengharamkan import gula cecair.
BIMB Securities, antara firma penyelidikan yang membuat liputan ke atas saham MSM, menurunkan penarafannya selepas kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih teras hanya RM7.1 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25).
Katanya, keuntungan itu mengambil kira pelarasan nilai boleh direalisasi bersih dan peruntukan membebankan sebanyak RM22 juta, yang menyebabkan jumlah pendapatan hanya mencapai 29% daripada unjuran setahun penuh, sekali gus di bawah jangkaan pasaran.
Firma penyelidikan itu turut memotong unjuran pendapatan MSM sebanyak 48% bagi FY25, 68% bagi FY26, dan 72% bagi FY27, berikutan jangkaan harga jualan purata (ASP) yang lebih lemah dan margin keuntungan yang semakin mengecil.
“Dalam jangka masa terdekat hingga sederhana, kami kekal berhati-hati terhadap prospek MSM memandangkan ketidaktentuan berhubung lambakan gula dari Thailand susulan larangan import gula cecair oleh China, yang berpotensi memberi tekanan lebih besar kepada harga jualan.
“Situasi ini diburukkan lagi oleh harga NY11 yang lemah akibat lebihan bekalan daripada tiga pengeluar gula mentah utama dunia. Selain itu, turun naik kadar pertukaran mata wang asing juga kekal sebagai risiko kepada pendapatan MSM,” katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, MBSB Research turut menurunkan penarafan MSM kepada "jual" daripada "neutral" dan menjangkakan pemulihan syarikat akan tertunda, dengan unjuran pemulihan hanya bermula pada tahun hadapan, bukannya FY25.
Firma penyelidikan itu memberi amaran, permintaan yang lemah, kemasukan gula dari Thailand, dan pengecilan premium ASP dalam segmen perindustrian dan eksport akan terus menekan prestasi kewangan MSM.
“Kami mengambil pendekatan lebih konservatif terhadap kemungkinan perang harga yang berterusan antara pemegang AP yang mungkin masih mempunyai stok untuk dibawa ke hadapan selama dua tahun akan datang,” katanya.
MBSB turut menurunkan harga sasaran MSM kepada 71 sen.- DagangNews.com








