KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kumpulan pemantau alam sekitar, RimbaWatch memberi amaran pembangunan pesat pusat data baharu di Malaysia berisiko menyebabkan peningkatan besar pelepasan karbon tahunan yang setara dengan penambahan lebih dua juta kereta di jalan raya.
Pengarah RimbaWatch, Adam Farhan berkata, analisis mereka mendapati apabila kesemua pusat data itu mula beroperasi, ia dijangka menghasilkan hampir 10 juta tan karbon dioksida setara (CO₂e) setahun.
“Jumlah itu hampir menyamai pelepasan karbon tahunan sebuah negara seperti Papua New Guinea pada tahun 2023.
“Kami bimbang kerana pelepasan karbon yang diunjurkan dari satu sektor sahaja sudah boleh menyaingi jejak karbon keseluruhan bagi sebuah negara.
“Angka ini tinggi kerana kebergantungan besar grid elektrik negara terhadap bahan api fosil,” katanya dalam satu kenyataan.
RimbaWatch berkata, setakat 1 Januari 2025, terdapat 14 projek pusat data baharu di Malaysia iaitu tiga projek yang telah siap antara 2023 dan 2024, dua dalam fasa pengembangan, lima sedang dibina dan empat lagi masih di peringkat cadangan.
Tambahnya, secara keseluruhan, kesemua projek itu akan menambah kapasiti pusat data sebanyak 2.2 gigawatt.
“Namun, 1.7 gigawatt daripadanya tidak mempunyai sebarang pelan tenaga boleh diperbaharui. Ini dijangka meningkatkan penggunaan tenaga grid negara sebanyak 12,920 gigawatt-jam setahun.
“Malaysia mesti komited terhadap pelan fasa keluar bahan api fosil secara adil dan menyeluruh dan pelan ini perlu dimasukkan ke dalam strategi peluasan pusat data untuk memastikan kesinambungan antara sektor,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan telah menyatakan komitmen untuk menamatkan operasi loji janakuasa arang batu menjelang tahun 2044 sebagai sebahagian daripada dasar peralihan tenaga dan perubahan iklim.
Malaysia kini berdepan cabaran besar untuk menyeimbangkan antara pertumbuhan sektor digital dan pematuhan kepada dasar peralihan tenaga, memandangkan hampir 90 peratus sumber tenaga negara masih datang daripada arang batu, minyak dan gas asli.
Sehubungan itu, RimbaWatch menggesa kerajaan agar menetapkan satu kriteria pelepasan karbon khusus untuk sektor pusat data, selain mengehadkan kelulusan kepada projek-projek yang benar-benar komited kepada operasi berasaskan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com








