KUALA LUMPUR 5 Mei – Richiamo Coffee Sdn Bhd merancang untuk mengembangkan operasinya ke peringkat antarabangsa dengan menyasarkan antara lima hingga 10 pasaran global dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah berkata, sebagai permulaan, syarikatnya akan membuka cawangan di Phnom Penh, Kemboja dan Melbourne, Australia pada September ini.
Beliau berkata, syarikat itu mula aktif menyertai ekspo di perigkat antarabangsa sejak tahun lalu bagi mengenal pasti potensi pasaran luar negara.
"Antara ekspo yang kami sertai termasuk di Melbourne, Australia dan Riyadh, Arab Saudi pada tahun lalu.
"Kami juga menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November 2024.
"Tahun ini, kami akan pergi ke Osaka, Jepun dan Jerman," katanya dalam program 'Bual Bisnes' Bernama TV yang disiarkan pada sabtu.
Richiamo Coffee juga menerima minat dari Uzbekistan dan telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak berkepentingan di negara itu.
Bagi operasi di peringkat global, Richiamo Coffee berminat untuk bekerjasama dengan pelabur yang ingin membangunkan dapur pusat di negara terbabit bagi mengurangkan kos pengeluaran dan logistik.
"Langkah ini juga mampu mengurangkan cukai import produk," katanya.
Bagi pengembangan pasaran tempatan, Muhamad Zamry berkata, syarikat itu merancang untuk menambah jumlah cawangan kepada 350 dalam tempoh terdekat.
Sejak penubuhannya pada 2016, Richiamo Coffee telah mencatat pertumbuhan pesat dengan 220 cawangan di seluruh Malaysia.
Manakala Richiamo Mart, cabang perniagaan runcit baharu di bawah kumpulan itu, kini telah memiliki 20 cawangan.
"Kami juga merancang untuk meningkatkan inovasi produk dengan memperkenalkan produk baharu setiap tiga bulan bagi menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan sedia ada," katanya.
Richiamo Coffee turut menyertai 'Franchising and Business Opportunities Expo' di Melbourne pada Oktober lalu, dengan pavilion Malaysia dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).- DagangNews.com








