RHB Research turunkan unjuran pendapatan Texchem susulan prestasi lemah separuh pertama 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research turunkan unjuran pendapatan Texchem susulan prestasi lemah separuh pertama 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai – RHB Research telah menurunkan unjuran pendapatan bagi Texchem Resources Bhd untuk tahun kewangan 2025 (FY25) hingga 2027 susulan prestasi lemah syarikat itu pada separuh pertama tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan Texchem adalah di bawah jangkaann disebabkan prestasi yang lemah dalam segmen perindustrian dan makanan.

 

“Pendapatan teras Texchem bagi separuh pertama 2025 hanya mencecah RM4.3 juta, bersamaan 26 peratus daripada unjuran pendapatan setahun penuh yang dibuat sebelum ini.

 

“Sehubungan itu, unjuran pendapatan bagi FY25 hingga FY27 dikurangkan masing-masing sebanyak 14% 5% dan 5% dengan mengambil kira andaian margin yang lebih konservatif untuk segmen industri dan makanan,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

RHB turut memberi amaran mengenai risiko penurunan daripada jualan atau pesanan yang lebih lemah daripada jangkaan serta harga bahan kimia yang tidak menentu.

 

Bagaimanapun, firma itu tetap mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham Texchem tetapi dengan harga sasaran lebih rendah iaitu RM1.37, berbanding RM1.58 sebelum ini.

 

Meskipun berdepan cabaran jangka pendek, RHB menjangkakan pendapatan Texchem akan meningkat pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh pemulihan volum, sumbangan daripada inisiatif perniagaan baharu dan permintaan bermusim yang lebih kukuh untuk menyokong kecekapan operasinya.

 

“Perniagaan kejuruteraan polimer dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan berterusan dalam industri cakera keras dan semikonduktor, selain pertumbuhan berterusan daripada pelanggan dalam bidang sains hayat perubatan.

 

“Beberapa projek baharu dengan margin tinggi kini menunjukkan kemajuan yang positif dan lebih banyak lagi sedang dirancang yang akan menyokong peningkatan margin dan kecekapan operasi Texchem,” kata RHB.

 

Dalam segmen restoran pula, Texchem merancang untuk memperbaharui menu serta mengembangkan operasi ke kawasan pinggir bandar yang lazimnya menawarkan margin lebih tinggi.

 

Selain itu, pengukuhan nilai ringgit dijangka dapat membantu mengurangkan kos bahan mentah.

 

RHB juga menjelaskan segmen industri Texchem masih berhadapan permintaan yang lemah berikutan aktiviti lambakan harga dari China – tekanan luar yang sukar ditangani.

 

“Bagi bahagian makanan, syarikat telah mempelbagaikan rantaian bekalan ke Thailand sejak FY24 untuk mengurus kesan kawalan mata wang dan pengurusan kekal optimis terhadap pelonggaran sekatan tersebut secara beransur-ansur,” katanya. - DagangNews.com