RHB Research menilai harga saham Cheeding yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 68 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research menilai harga saham Cheeding yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 68 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - RHB Research memberikan nilai wajar kepada penyedia rumusan kejuruteraan utiliti, Cheeding Holdings Berhad pada 68 sen sesaham.

 

Penilaian tanpa penarafan itu adalah 88.9% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 36 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 7 Oktober 2025.

 

"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 16x berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY27

 

"Ia adalah sejajar dengan P/E hadapan dua tahun jika dibandingkan dengan rakan setara tempatannya tetapi kumpulan itu berdepan risiko termasuk kegagalan mendapatkan projek baharu, kelemahan dalam permintaan kejuruteraan utiliti serta turun naik harga bahan mentah," katanya dalam satu nota kajian.

 

Cheeding menyasarkan untuk mengumpul RM51.5 juta melalui IPO bagi membiayai bon prestasi untuk kontrak baharu yang bakal diperoleh serta mengukuhkan modal kerja.

 

Firma penyelidikan itu berkata, seiring peningkatan perbelanjaan modal dalam infrastruktur tenaga, kumpulan itu berada di kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada permintaan elektrik Malaysia yang semakin meningkat. 

 

Katanya, penubuhan bahagian perkhidmatan bawah tanah baharu mengukuhkan keupayaan syarikat dalam mendapatkan projek berskala besar dan bersepadu, khususnya dengan lonjakan projek pusat data.

 

Ketika ini, buku pesanan Cheeding berjumlah RM202.7 juta, termasuk dua projek pusat data di Cyberjaya dan Iskandar Puteri yang meliputi kerja-kerja talian, pencawang serta utiliti bawah tanah.

 

"Walaupun Cheeding boleh mengendalikan kerja-kerja itu secara sendiri tetapi ia turut memanfaatkan usahasama (JV) dan subkontraktor untuk skop pencawang dan bawah tanah, sekali gus memperluaskan kepakaran teknikal dan meletakkan dirinya bagi projek pusat data berskala besar dengan jadual ketat serta spesifikasi tinggi yang lazimnya menawarkan margin lebih baik," katanya.

 

Daripada hasil IPO tersebut, sejumlah RM16.2 juta diperuntukkan khusus untuk membiayai bon prestasi bagi projek akan datang. 

 

Lazimnya, jumlah bon prestasi adalah sekitar 5% daripada nilai kontrak. Oleh itu, peruntukan RM16.2 juta ini membolehkan Cheeding menyediakan bon prestasi bagi projek dengan jumlah kontrak sehingga RM323 juta.

 

Bon prestasi itu kebiasannya dikembalikan kepada syarikat selepas tamat tempoh liabiliti kecacatan projek dan ia memberi kelebihan kepada modal kerja kumpulan selain mengekalkan keupayaan membida projek baharu.- DagangNews.com