RHB Research kekalkan overweight terhadap saham berkaitan Perak dengan pilihan utama IJM, Sunway & MRCB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research kekalkan overweight terhadap saham berkaitan Perak dengan pilihan utama IJM, Sunway & MRCB

Gambar ilustrasi Ipoh Sentral
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Dis – Perak kini muncul sebagai antara destinasi pelaburan paling berpotensi di Malaysia, didorong oleh peluasan perindustrian berskala besar, pembangunan infrastruktur strategik serta pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah visi Perak Sejahtera 2030.

 

Menurut analisis tematik RHB Research, negeri yang sebelum ini sinonim dengan warisan sejarah dan perlombongan bijih timah itu kini berada di landasan kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang, disokong oleh kepelbagaian ekonomi, lokasi strategik di pantai barat Semenanjung Malaysia serta ketersediaan tanah industri.

 

“Pada 2024, Perak menyumbang RM86.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bersamaan 5.2% daripada jumlah nasional, dengan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4%. 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama ekonomi negeri, menyumbang 63% kepada KDNK, diikuti sektor pembuatan pada 19% dan pertanian sekitar 14%,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

RHB Research berkata Perak kini giat melaksanakan peluasan perindustrian menerusi beberapa projek utama, termasuk Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Silver Valley Technology Park dan Automotive High Technology Valley yang dijangka menarik industri bernilai tinggi serta membentuk kluster ekonomi baharu.

 

Firma tersebut berkata LuMIC, yang dibangunkan sebagai hab maritim, logistik dan perindustrian mampan dijangka menarik pelaburan sehingga RM72 bilion dalam tempoh 25 tahun. 

 

“Kerja-kerja infrastruktur dijangka bermula pada 2026, dengan fasa pertama projek disasarkan seawal 2030.

 

“Projek tersebut turut dijangka memberi limpahan positif kepada pelabuhan sedia ada di Lumut, termasuk Lumut Maritime Terminal, selain menyokong pembangunan terminal baharu dan projek strategik seperti terminal regasifikasi LNG ketiga negara.

 

“Dalam kalangan syarikat tersenarai, IJM Corp dikenal pasti sebagai antara penerima manfaat utama daripada pertumbuhan industri Perak,” kata RHB Research.

 

t

 

Melalui anak syarikatnya, Industrial Concrete Products (ICP Piles), IJM mempunyai tiga kilang di Lumut yang terletak berhampiran zon LuMIC, lengkap dengan kemudahan jeti untuk sokongan eksport.

 

ICP Piles merupakan pengeluar cerucuk konkrit prategasan berprestasi tinggi terbesar di Asia Tenggara dan telah membekalkan produk ke pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Asia Selatan. 

 

Pendedahan antarabangsa ini dijangka meningkat selari dengan pembangunan LuMIC.

 

Sementara itu, Sunway Group terus memperkukuh kehadirannya di Perak melalui pembangunan Sunway City Ipoh seluas 1,350 ekar di Tambun. 

 

Setakat ini, pembangunan bernilai kira-kira RM2 bilion telah dilaksanakan dengan tambahan RM4 bilion nilai pembangunan kasar dijangka direalisasikan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

 

Antara pemangkin utama ialah pembinaan Sunway Ipoh Mall bernilai RM1 bilion, yang dijangka siap pada 2027 dan akan menjadi pusat beli-belah terbesar di Ipoh. 

 

Pusat beli-belah ini terletak strategik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan disasarkan sebagai hentian rehat dan rekreasi utama bagi pengguna lebuh raya.

 

Dalam segmen pembangunan berorientasikan transit, Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) pula sedang membangunkan Ipoh Sentral, sebuah projek TOD bernilai RM6.3 bilion yang akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 20 tahun berhampiran Stesen Keretapi Ipoh.

 

 

 

 

 

 

RHB Research berpandangan projek-projek pembangunan hartanah dan infrastruktur ini akan menyokong keperluan tenaga kerja masa depan, khususnya bagi kawasan industri baharu di Perak, selain meningkatkan daya tarikan negeri itu kepada pelabur tempatan dan asing.

 

Berdasarkan prospek tersebut, RHB Research mengekalkan pandangan Overweight terhadap kaunter berkaitan infrastruktur dan pembinaan yang berkaitan Perak dengan pilihan utama merangkumi IJM Corp, Sunway, Sunway Construction dan Malaysian Resources Corp. - DagangNews.com