KUALA LUMPUR 12 Jan – Aliran projek pembinaan di Singapura yang stabil dan kukuh bagi tempoh 2026 hingga 2029 diyakini bakal membuka peluang berterusan kepada kontraktor Malaysia yang terlibat dalam projek-projek di negara itu, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan dengan mengekalkan saranan Beli terhadap semua 12 syarikat di bawah liputannya seperti Binastra, Econpile Holdings, Gabungan AQRS, Gamuda, IJM Corp, Inta Bina, Kerjaya Prospek, Malaysian Resources Corp, MGB, Pintaras Jaya dan Sunway Construction.
RHB Research berkata walaupun lawatan mereka ke Singapura baru-baru ini lebih tertumpu kepada sektor hartanah dan REIT, beberapa pemerhatian penting berkaitan sektor pembinaan telah diperoleh, khususnya bagi syarikat Malaysia yang berada di bawah liputan mereka.
“Menurut Lembaga Perumahan dan Pembinaan Singapura (HDB), permintaan pembinaan di republik itu dijangka berada pada paras antara SGD30 bilion hingga SGD46 bilion setahun bagi tempoh 2026 hingga 2029.
“Data Jabatan Perangkaan Singapura menunjukkan nilai kontrak sektor awam dan swasta yang dianugerahkan bagi 11 bulan pertama 2025 mencapai SGD45 bilion, melepasi nilai keseluruhan tahun 2024 sebanyak SGD44.6 bilion.
“Dalam segmen kediaman, kontrak yang dianugerahkan oleh kerajaan meningkat kepada SGD9.4 bilion dalam 11M25 berbanding SGD7.3 bilion bagi keseluruhan tahun 2024, menunjukkan momentum pembangunan perumahan awam yang berterusan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Aliran kontrak kediaman awam dijangka kekal mampan dengan kira-kira 19,600 unit flat Build-to-Order dijadualkan dilancarkan pada 2026, hampir setara dengan jumlah pelancaran pada 2024 dan 2025.
Lebih 4,000 unit akan mempunyai tempoh menunggu kurang daripada tiga tahun.
Sunway Construction dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada pelancaran flat HDB melalui segmen pratuangnya, yang menyumbang kira-kira 16 peratus kepada buku pesanan kumpulan setakat akhir September 2025.
Segmen pratuang Sunway Construction menunjukkan peningkatan margin keuntungan sebelum cukai daripada 3.9 peratus pada suku pertama 2025 kepada 6.9 peratus pada suku ketiga, disokong oleh beberapa projek yang berada pada peringkat penghantaran puncak.
Pintaras Jaya juga mempunyai kehadiran dalam beberapa projek berkaitan HDB di Singapura, manakala IJM Corp mendapat pendedahan menerusi syarikat bersekutunya, Hexacon Construction, yang memperoleh kontrak bernilai SGD232 juta di Bukit Merah bagi 1,021 unit flat HDB pada Oktober 2025.
Hexacon Construction kini mempunyai baki buku pesanan berjumlah SGD615 juta, memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih jelas kepada IJM Corp daripada pasaran Singapura.
RHB Research turut memerhatikan kemajuan projek Lebuhraya North South Corridor, khususnya jejambat yang menghubungkan Admiralty Road West ke Lentor Avenue, yang dijangka siap secara berperingkat bermula 2027.
Gamuda, bersama rakan usaha samanya, berjaya memperoleh sebidang tanah seluas kira-kira 29.5 meter persegi di Chencharu Close untuk pembangunan bercampur komersial dan kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar sekitar RM6.9 bilion.
Kehadiran kontraktor Woh Hup di Singapura juga menarik perhatian, dengan beberapa projek utama seperti Union Square, W Residences Marina View dan Collyer Quay. Woh Hup merupakan rakan kongsi IJM dalam salah satu projek pusat data di Johor.
Namun RHB Research memberi peringatan bahawa risiko utama bagi kontraktor Malaysia di Singapura adalah persaingan daripada syarikat luar negara, khususnya dari China dan Korea Selatan, yang boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan.
Walaupun terdapat cabaran, laporan itu mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pembinaan, dengan semua 12 saham di bawah liputan mereka mengekalkan penarafan beli.
Antara pilihan utama berkaitan projek di Singapura termasuk Gamuda dengan harga sasaran RM7.00, IJM Corp pada RM3.43, Sunway Construction pada RM7.32 dan Pintaras Jaya pada RM2.18, disokong oleh aliran projek yang kukuh dan keterlihatan pendapatan yang jelas. - DagangNews.com








