KUALA LUMPUR 29 Ogos – RHB Banking Group menjalin kerjasama strategik dengan OSK Property bagi memperluas akses rakyat Malaysia kepada hartanah kediaman di negara lain dengan melancarkan Skim Pembiayaan Hartanah Luar Negara RHB.
Pelancaran pembiayaan itu dimulakan dengan tawaran pemilikan di Melbourne Square yang menjadi mercu tanda OSK Property di Australia.
Melalui kerjasama strategik ini, pelanggan RHB Premier berpeluang memperoleh pinjaman perumahan fleksibel dalam Ringgit Malaysia (MYR) bagi pembelian hartanah kediaman di Australia.
Melbourne Square menampilkan kediaman luas dengan pemandangan bandar yang menarik, persekitaran hijau serta lokasi strategik berhampiran universiti dan pusat beli-belah menjadikannya pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia yang mencari peluang pelaburan hartanah jangka panjang.
Skim pembiayaan itu ditawarkan untuk rakyat Malaysia yang bukan penduduk tetap atau warganegara Australia dan boleh digunakan untuk hartanah di Melbourne dan Sydney (dalam radius 30 km dari Central Business District).
Produk pembiayaan itu menawarkan syarat pembayaran semula yang fleksibel, kemudahan pengeluaran semula tanpa kos dan pilihan pelepasan awal semasa fasa pembinaan.
Ia juga boleh digunakan untuk hartanah di London, UK (Zon 1-3).
Ciri-ciri produk ini direka supaya pelanggan dapat menguruskan risiko pertukaran mata wang asing dan mematuhi peraturan Bank Negara Malaysia.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad, berkata tawaran ini selaras dengan strategi Kumpulan untuk membantu pelanggan premier mempelbagaikan portfolio hartanah mereka di peringkat global.
“Hartanah terus menjadi kelas aset yang terbukti tahan lama, menawarkan nilai jangka panjang dan lindung nilai semula jadi terhadap inflasi.
“Melalui kerjasama dengan OSK Property, kami menyediakan penyelesaian pembiayaan yang lancar, membolehkan pelanggan memanfaatkan peluang hartanah premium di luar negara seperti Melbourne Square dengan mudah,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan OSK Property Group, Ong Ju Yan pula berkata, RHB Bank telah memperkenalkan produk pembiayaan yang inovatif dan fleksibel untuk rakyat Malaysia memiliki hartanah di luar negara.
“Produk unik ini dapat membantu pelabur dan keluarga Malaysia merealisasikan impian memiliki hartanah di lokasi utama seperti Melbourne Square,” katanya.
Kerjasama itu diumumkan pada acara Beyond Borders: Australia Property Investment Outlook, yang menampilkan pembentangan oleh Dominic Heaton-Watson dari Knight Frank Malaysia mengenai asas ekonomi Melbourne dan minat pembeli hartanah antarabangsa, termasuk untuk tujuan pendidikan anak-anak.
RHB merancang untuk mengembangkan tawaran pembiayaan ini ke lebih banyak bandar di Australia dan zon luar London, sejajar dengan trend pasaran dan aspirasi pelanggan Premier.
Langkah ini membuktikan komitmen RHB dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang menyokong pertumbuhan pelaburan hartanah antarabangsa pelanggannya. - DagangNews.com








