KUALA LUMPUR 11 Jun – RHB Islamic Bank Bhd dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan inisiatif RHB MyTVETKPM, memperkenalkan kad pintar pelbagai guna kepada 74,000 pelajar di seluruh negara.
Inisiatif itu menyasarkan pelajar di 86 kolej vokasional dan sembilan sekolah menengah teknik, yang bakal menerima kad digunakan sebagai kad matrikulasi dan kad debit RHB di bawah satu platform kewangan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, rumusan itu direka untuk menyokong pembangunan bakat mampan dalam bidang teknikal dan vokasional sejajar aspirasi kerajaan.
"TVET adalah tonggak utama sektor perindustrian dan perkhidmatan negara. Kami berbangga dapat menyumbang melalui rumusan kewangan mesra pelajar," katanya dalam satu kenyataan.

RHB Islamic berkata, pelancaran MyTVETKPM adalah kesinambungan kepada kejayaan MySISWA, yang sebelum ini melibatkan lebih 600,000 pelajar universiti awam sejak 2022.
Melalui pembukaan Akaun Simpanan-i RHB Pro, pelajar dapat menikmati pengalaman 'satu kad untuk semua' termasuk fungsi pengurusan dana, transaksi tanpa tunai serta pelbagai promosi dan diskaun eksklusif.
Antara keistimewaan yang ditawarkan termasuk diskaun untuk sektor makanan dan minuman, pengangkutan, pendidikan, gaya hidup, serta telekomunikasi dan data.
Menurut Adissadikin, kad itu bukan hanya berfungsi sebagai bukti pengenalan diri, malah berperanan sebagai alat untuk memupuk pengurusan kewangan lebih baik dalam kalangan pelajar.

"Ia menyokong hasrat pelaksanaan kampus tanpa tunai serta memperkukuh keterangkuman dan celik kewangan dalam kalangan pelajar institusi," tambah beliau.
Inisiatif itu turut melibatkan kerjasama strategik antara RHB Islamic dan Yayasan Didik Negara, badan kebajikan rasmi KPM yang dimeterai pada 2024.- DagangNews.com








