RFID kini dipasang terus dalam Proton X50 serba baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RFID kini dipasang terus dalam Proton X50 serba baharu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Proton X50 serba baharu kini dilengkapi dengan tag RFID Touch ‘n Go terus dari barisan pengeluaran, membolehkan pemandu menikmati akses lancar ke rangkaian lebuh raya berteknologi RFID di seluruh Malaysia.

 

Kerjasama strategik ini dimeterai antara Proton dan Touch ‘n Go Sdn. Bhd melalui Memorandum Persefahaman (MoU), sebagai langkah memacu ekosistem mobiliti di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Praba Sangarajoo berkata, pemasangan RFID terus pada Proton X50 memberi kepuasan segera kepada pengguna.

 

Menurutnya, pembeli akan memandu keluar dari bilik pameran dengan RFID yang sudah siap dipasang.

 

“Ini bukan sekadar mengenai mobiliti pintar, tetapi membawa nilai sebenar dan keseronokan kepada perjalanan harian.

 

“Sebagai dua syarikat tempatan, kerjasama ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap potensi apabila juara tempatan bekerjasama.

 

“Ia digerakkan dengan tujuan mencipta pengalaman yang lebih lancar bagi pelanggan yang menerima perkhidmatan kami, menjadikan perjalanan lebih lancar dan mudah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Proton Centre of Excellence, Shah Alam, disaksikan oleh wakil kanan kedua-dua syarikat.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang pula berkata, Proton X50 merupakan model pertama Proton yang dilengkapi ciri standard RFID Touch ‘n Go bagi semua varian.

 

“Sejak pelancaran rasmi pada 24 Julai lalu, lebih 2,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan dalam masa hanya tiga minggu.

 

“Kerjasama ini juga berpotensi diperluaskan kepada model-model Proton lain, bagi menawarkan pengalaman pemanduan lancar yang sama, sejajar dengan matlamat syarikat meningkatkan tahap kepuasan pelanggan,” katanya.

 

Proton X50 serba baharu menggabungkan rekaan luaran dan dalaman baharu, teknologi sambungan terkini, serta enjin turbo i-GT 1.5 liter yang berkuasa, selaras dengan slogan model itu, Intelligence That Amazes. - DagangNews.com