Resintech peroleh kontrak RM16.07 juta bekal paip di Kemboja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Resintech peroleh kontrak RM16.07 juta bekal paip di Kemboja

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Dis – Resintech Bhd memperoleh kontrak bernilai RM16.07 juta bagi membekal dan menghantar paip serta kelengkapan polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) untuk sebuah projek kemudahan air di Kemboja.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Resintech Plastics (M) Sdn Bhd telah menandatangani kontrak berkenaan dengan Lembaga Bekalan Air Phnom Penh bagi Fasa 3 projek bekalan air Bakheng.

 

Menurut Resintech, kontrak tersebut berkuat kuasa selama lima bulan bermula 26 Disember 2025 dan tidak boleh diperbaharui.

 

“Sekiranya tiada sebarang keadaan luar jangka, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan serta aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 sehingga tamat tempoh kontrak,” katanya.

 

Lembaga Bekalan Air Phnom Penh bertanggungjawab terhadap pengeluaran dan pembekalan air minuman kepada pelanggan kediaman, komersial dan industri di Phnom Penh serta kawasan sekitarnya.

 

Mengulas pencapaian itu, Pengarah Urusan Resintech, Datuk Dr Teh Kim Poo berkata, kontrak berkenaan mencerminkan pengukuhan kehadiran kumpulan dalam projek infrastruktur air serantau.

 

“Kontrak kedua di bawah projek Bakheng ini mencerminkan penglibatan kami yang semakin meningkat dalam kerja-kerja infrastruktur air di peringkat serantau. Bersama pelaburan air yang sedang berjalan di Sarawak dan Sabah, syarikat melihat permintaan yang stabil terhadap produk kami dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

 

Selain perniagaan pembuatan, Resintech turut mengembangkan asas pendapatan berulang menerusi aset hartanah.

 

Menurut kenyataan itu, pembangunan pangsapuri pekerja 158 unit dengan empat unit kedai di Kuala Langat yang dijangka siap menjelang pertengahan 2028, diunjurkan meningkatkan pendapatan sewaan tahunan kira-kira RM1.5 juta, sekali gus menggandakan sumbangan semasa pendapatan sewaan berkaitan hartanah kumpulan.

 

Dr Teh menambah, dengan permintaan pembuatan yang disokong oleh program infrastruktur air berbilang tahun serta pendapatan sewaan yang menyediakan sumbangan berulang yang stabil, Syarikat yakin kumpulan berada pada kedudukan yang selesa untuk mencatat pertumbuhan hasil dua digit bagi beberapa tahun kewangan akan datang, tertakluk kepada tiada keadaan luar jangka. - DagangNews.com