KUALA LUMPUR 24 April — Reservoir Link Energy Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Reservoir Link Sdn Bhd, menerima kontrak Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi kerja-kerja penyediaan perkhidmatan pengujian telaga ringan.
Penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga itu berkata, kontrak baharu tersebut diterima oleh syarikat berkenaan pada 14 Mac 2025 sebelum memperoleh surat pelantikan sebagai kontraktor panel untuk kontrak pada 31 Mac 2025.
Di bawah skop kontrak itu, Reservoir Link bertanggungjawab dalam penugasan kakitangan yang berkemahiran tinggi, penggunakan teknologi ujian telaga termaju, serta turut memastikan segala peralatan diselenggara dengan baik.
"Kumpulan ini juga menyelaraskan semua pengaturan logistik yang diperlukan untuk memudahkan pelaksanaan projek dengan lancar sambil mengekalkan standard keselamatan dan kecekapan yang tertinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Nilai kontrak untuk pesanan kerja tersebut katanya, akan berdasarkan kepada bilangan telaga yang sudah selesai dilaksanakan dan pihak pengurusan menjangkakan ia boleh menjana nilai sehingga RM40 juta selaras data sebelum ini.
Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, syarikat itu amat berbesar hati apabila berjaya dipilih sebagai kontraktor untuk kerja-kerja teknikal tinggi berkenaan daripada Petronas Carigali.
Katanya, memandangkan hubungan yang lama terjalin dengan pelanggan sedia ada dan reputasi industri kukuh, ia menjangkakan banyak aktiviti akan diterima pada bulan-bulan berikutnya kerana perkhidmatan itu terus berkembang.
"Kami berharap dapat memainkan peranan aktif dan menyokong sektor tenaga huluan Malaysia sambil mengekalkan piawaian operasi tertinggi untuk memastikan kami memenuhi janji sebagai rakan kongsi boleh dipercayai," katanya.
Selain itu, kejayaan pemerolehan kontrak tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam menyampaikan rumusan yang diyakini serta menyumbang kepada kecekapan dan kemampanan keseluruhan industri. - DagangNews.com








