KUALA LUMPUR 17 Dis – Pasaran hartanah Malaysia mencatat pertumbuhan sederhana pada 2025 dengan jumlah transaksi sedikit menurun tetapi nilai transaksi meningkat, menunjukkan permintaan sebenar masih kukuh meskipun pasaran menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Berdasarkan laporan pasaran hartanah separuh pertama 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi menurun 1.3% kepada 196,232 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun nilai transaksi meningkat 1.9% kepada RM107.68 bilion.
Pemaju perumahan pula dilaporkan menangguhkan pelancaran projek baharu berikutan jualan sederhana dan lebihan hartanah yang belum terjual.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) optimis pertumbuhan stabil dan mampan bagi sektor hartanah pada 2026.
Johor dijangka mendapat manfaat daripada projek pengangkutan seperti Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan pembangunan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat.
Pulau Pinang pula bakal menyaksikan pertumbuhan berorientasikan transit melalui Laluan LRT Mutiara dan Lebuh Raya Juru-Sungai Dua, manakala projek nasional seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan MRT3 dijangka merancakkan permintaan.
Bagaimanapun, REHDA kekal berhati-hati terhadap prospek sektor ini memandangkan 2026 berpotensi membawa cabaran baharu kepada pemaju.
Antaranya ialah kenaikan duti setem bagi pembelian kediaman oleh warga asing daripada 4% kepada 8% yang dijangka memperlahankan permintaan bersifat spekulatif.
Selain itu, REHDA menjangkakan peningkatan penekanan terhadap pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pembangunan mampan di samping pelaksanaan inisiatif pembaharuan bandar termasuk pembangunan semula perumahan berusia lebih 50 tahun khususnya di Selangor.
Dalam pada itu, JPPH menjangkakan pasaran hartanah akan kekal positif, dipacu oleh permintaan tulen daripada pembeli.
“Dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan penambahbaikan kepada program inisiatif Malaysia Rumah Kedua (MM2H), permintaan terhadap hartanah kediaman premium dan apartmen servis di bandar-bandar utama dijangka meningkat,” katanya.
Kerajaan juga memainkan peranan penting dalam menyokong sektor ini, khususnya melalui kesinambungan agenda perumahan mampu milik, tambah JPPH.-- BERNAMA








