RedPlanet meterai perjanjian dengan UOB Kay Hian bagi IPO Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RedPlanet meterai perjanjian dengan UOB Kay Hian bagi IPO Pasaran ACE

Dari kiri: Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GIS RedPlanet Berhad, Panjetty Kumaradevan Senthil Kumar; Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan RedPlanet Berhad, Lian Wah Seng; Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian (M) Sdn. Bhd., David Lim dan Pengarah Kewangan Korporat UOB Kay Hian (M) Sdn. Bhd. Winston Loh
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept – RedPlanet Bhd  memeterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd bagi melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) sempena cadangan pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Syarikat penyedia perkhidmatan geospatial dan kereta api pintar itu turut menyasarkan lebih banyak projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih bernilai serta kompleks selepas penyenaraian tersebut.

 

Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Lian Wah Seng berkata, langkah berkenaan dijangka memberi RedPlanet kedudukan yang lebih kukuh untuk mengembangkan perniagaan dan melaksanakan strategi pertumbuhan jangka panjang.

 

Menurut beliau, penyenaraian di Pasaran ACE juga dijangka meningkatkan profil korporat syarikat, selain membuka ruang kepada penyertaan kumpulan pelabur yang lebih luas.

 

RedPlanet percaya platform baharu itu akan membantu syarikat mengejar peluang dalam projek ICT bernilai lebih tinggi, selaras dengan usaha memperluaskan skop dan keupayaan perniagaannya.

 

IPO Libatkan 70 Juta Saham Baharu

Menerusi IPO yang dicadangkan, RedPlanet akan menerbitkan sebanyak 70 juta saham baharu, selain menawarkan penjualan 10 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

 

Daripada 70 juta saham baharu itu, sebanyak 20.54 juta saham diperuntukkan kepada permohonan orang awam Malaysia.

 

Sebanyak 19.71 juta saham pula dikhaskan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak berdasarkan sumbangan mereka terhadap kejayaan RedPlanet serta anak-anak syarikatnya.

 

Sementara itu, 11.52 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih, manakala baki 18.22 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

UOB Kay Hian pula akan menaja jamin sebanyak 40.25 juta saham terbitan, merangkumi saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan golongan yang layak.

 

Perkukuh Perniagaan Geospatial Dan Kereta Api Pintar

Selepas penyenaraian di Pasaran ACE, RedPlanet merancang untuk memberi tumpuan kepada projek ICT yang lebih besar dan mempunyai tahap kerumitan lebih tinggi bagi meningkatkan pertumbuhan perniagaannya.

 

Syarikat itu juga bercadang memperluaskan penyelesaian kereta api pintarnya, termasuk menawarkan penyelesaian sistem penghantaran pusat sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkan keupayaan dalam sektor berkenaan.

 

Dalam masa sama, RedPlanet akan memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk membangunkan alat pengesanan aset berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan automasi, ketepatan dan kecekapan operasi dalam perniagaan geospatialnya.

 

UOB Kay Hian dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penajajamin dan ejen penempatan bagi IPO serta cadangan pemindahan penyenaraian RedPlanet ke Pasaran ACE Bursa Malaysia. - DagangNews.com