KUALA LUMPUR 30 Mei - Reach Ten Holdings Bhd mengumumkan dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham selepas disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2 Mei 2025.
Syarikat telekomunikasi berpusat di Sarawak itu turut mencatat keuntungan bersih RM7.12 juta dan pendapatan RM23.05 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, hasil daripada operasi selama dua bulan selepas penggabungan anak-anak syarikatnya.
Menurut Reach Ten, pembayaran dividen itu selaras dengan dasar syarikat untuk mengagihkan sehingga 30% daripada keuntungan bersih kepada pemegang saham.
"Laporan kewangan suku pertama ini hanya meliputi dua bulan iaitu Februari dan Mac 2025, susulan penggabungan anak syarikat yang selesai pada 5 Februari 2025 mengikut Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS).
"Oleh itu, pendapatan dan keuntungan yang dilaporkan hanya mewakili prestasi selepas penggabungan entiti," jelas Reach Ten dalam satu kenyataan.
Namun, jika mengambil kira prestasi untuk keseluruhan suku tahun, syarikat menjangka pendapatan mencecah RM28.4 juta, manakala keuntungan bersih sekitar RM8.2 juta.
Syarikat tidak menyediakan perbandingan angka untuk suku sama tahun sebelumnya memandangkan ini merupakan laporan kewangan interim kedua selepas penyenaraian.
Bagi suku tersebut, sebanyak 63.2% daripada pendapatan syarikat disumbangkan oleh perkhidmatan rangkaian dan komunikasi berasaskan satelit.
Perkhidmatan rangkaian gentian optik menyumbang 21.4%, manakala infrastruktur telekomunikasi dan perkhidmatan terurus menyumbang baki 15.4%.
Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin berkata, syarikat kekal yakin terhadap prospek pertumbuhan, disokong oleh permintaan tinggi terhadap sambungan digital, dasar kerajaan yang menyokong serta peluasan infrastruktur yang berterusan.
"Fokus strategi kami adalah kepada pasaran yang kurang mendapat liputan, khususnya di Sarawak.
"Ini memberi kami peluang besar untuk berkembang dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham," ujarnya. - DagangNews.com








